KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei hari ini membuat laporan polis menafikan dakwaan kononnya beliau menerima ugutan daripada peguam mewakili bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki seperti dilaporkan beberapa media baru-baru ini.
Albert Tei berkata, laporan yang disiarkan oleh Sinar Harian bertajuk “Azam Baki akan dipanggil bantu siasatan kes dakwaan ugut Albert Tei – Polis” serta New Straits Times bertajuk “Police to record ex-MACC chief’s statement over Albert Tei Claim” adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.
Beliau mengaku tidak pernah membuat dakwaan menerima ugutan daripada peguam Azam sama ada dalam laporan polis bertarikh 13 Mei lepas mahupun ketika rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya berkenaan dua siaran media di atas yang dikatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
“Saya tidak pernah membuat dakwaan yang dikatakan itu di dalam laporan polis mahupun di dalam rakaman keterangan yang dirakam oleh pegawai penyiasat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau menggesa polis mendedahkan bukti yang menunjukkan beliau pernah membuat dakwaan sedemikian dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Albert Tei turut mendakwa, terdapat usaha memanipulasikan fakta bagi menganiaya dirinya selain mendakwa Azam masih mempunyai pengaruh besar walaupun telah bersara.
Beliau berkata, kejadian itu memberi kesan serius terhadap kesahihan fakta berkaitan naratif kes jenayah ugutan yang didakwa melibatkan Azam,
Justeru, beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan secara tegas dan bebas susulan laporan yang dibuat. – MalaysiaGazette
















