MELAKA – Pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah di sini yang disyaki membekalkan dadah vape mushroom kepada kekasihnya berusia 14 tahun sejak Februari lalu sudah ditahan polis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berusia 17 tahun itu ditahan semalam sebelum dibawa ke mahkamah dan dibenarkan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.
“Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut termasuk dari manakah remaja sekolah itu mendapatkan bekalan
vape mushroom berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah,” katanya di sini hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang cuba mengambil nyawa sendiri dengan mengelar leher dan tangan di rumah keluarganya di Jonker Walk di sini Ahad lalu disyaki berada di bawah pengaruh vape mushroom dibekalkan kekasihnya itu.
Dzulkhairi dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, kejadian pukul 10.33 malam 24 Mei lalu berpunca apabila mangsa tertekan selepas dihalang ibu angkatnya berusia 49 tahun untuk keluar bersama teman lelakinya itu.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan awal di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad, Rabu lalu.
Siasatan mendapati mangsa bertindak demikian kerana berang dengan tindakan ibunya yang menghalangnya keluar bersama kekasihnya sebelum masuk ke dalam bilik tidur dan mengelar kedua-dua belah tangan serta leher menggunakan sebilah pisau.
Dadah berkenaan dipercayai dibekalkan teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan 4 selepas mangsa mula terjebak dengan tabiat menghisap vape sejak Februari lalu apabila berkenalan dengan kekasihnya itu.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa selain Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol. – MalaysiaGazette
















