JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan membantu DAP seperti melepaskan anjing tersepit dengan menggigit semula tangan yang menghulurkan pertolongan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr Naqib Ghazali mendakwa, parti itu seakan-akan tidak mengenang budi apabila kini sudah selesa dan berada dalam kerajaan.
“DAP perlu ingat, tanpa kesediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima konsep Keajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mereka mungkin tidak berada dalam Kerajaan Pusat pada hari ini.
“Orang Melayu mempunyai satu pepatah yang sangat tepat untuk keadaan ini iaitu bagai melepaskan anjing tersepit. Ketika susah meminta bantuan, ketika sudah selesa mula menggigit tangan yang menghulurkan pertolongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila ada pemimpin DAP menuduh UMNO menikam belakang hanya kerana UMNO dan BN Johor mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
“Saya ingin mengingatkan mereka tentang sejarah yang masih segar dalam ingatan rakyat. Sebelum PRU-15, UMNO dan BN tidak pernah berjanji untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
“Malah, selama bertahun-tahun UMNO dihina, difitnah dan dijadikan musuh politik utama oleh mereka. Penyokong UMNO dituduh pelbagai perkara, manakala DAP pula ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu kerana kegagalan mereka meyakinkan rakyat terhadap agenda perjuangan mereka.
“Namun, selepas PRU-15, apabila tiada parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, siapa yang datang mengetuk pintu UMNO,” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan ketika itu siapa yang memerlukan sokongan UMNO dan BN serta siapa yang mengharapkan UMNO mengetepikan segala perbezaan demi kestabilan negara.
Jawapannya kata beliau, diketahui rakyat dan atas titah Yang di-Pertuan Agong serta demi menyelamatkan negara daripada krisis politik yang berpanjangan, UMNO dan BN membuat keputusan sukar.
Keputusan itu katanya, tidak popular dalam kalangan sebahagian penyokong tetapi UMNO meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik.
“Hari ini, apabila UMNO Johor menyatakan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN, tiba-tiba UMNO dituduh menikam belakang. Di mana logiknya?
“Adakah salah untuk sebuah parti politik bertanding dalam pilihan raya? Adakah UMNO perlu meminta izin DAP untuk menawarkan diri kepada rakyat Johor,” soalnya lagi.
Pihaknya yakin rakyat Johor khususnya orang Melayu, tidak mudah lupa sejarah kerana mereka tahu siapa yang sentiasa mempertahankan institusi Raja Melayu, agama Islam dan kepentingan rakyat.
Rakyat juga dakwanya, tahu siapa yang hanya muncul apabila memerlukan sokongan untuk mendapatkan kuasa.
“Saya menyokong penuh pendirian Pengerusi Perhubungan UMNO Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN. Biarlah rakyat Johor membuat keputusan dan menentukan masa depan Johor.
“Kita tidak takut bertanding. Kita tidak takut dinilai. Kerana kita yakin rakyat mampu membezakan antara perjuangan yang ikhlas dan politik yang bermusim,” katanya.- MalaysiaGazette
















