Pihak polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Lelaki yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta di Jalan Sungai Dua di sini, semalam dipercayai telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayatnya ditemukan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 37 tahun yang berasal dari Ayer Itam itu ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas dan berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang dikunci dari dalam.

Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 11.47 pagi selepas terhidu bau busuk dari arah kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan pada badan mangsa dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Polis menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

ARTIKEL BERKAITAN

Kehilangan suami berakhir dengan penemuan mayat dalam kereta

MalaysiaGazette semalam melaporkan, isteri mangsa memaklumkan suaminya yang menghidap diabetes dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur sebelum memaklumkan perlu singgah ke pejabat di Bayan Baru dan gagal dihubungi kira-kira jam 11 malam.

Wanita itu turut memaklumkan laporan polis dibuat pada Sabtu lalu selepas pelbagai usaha menghubungi suaminya tidak berjaya sebelum dia dikejutkan dengan berita penemuan mayat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast