KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjelaskan sama ada sistem penyelenggaraan dan pengurusan keselamatan rangkaian rel negara berada pada tahap memuaskan susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, insiden itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan dan kebolehpercayaan pengangkutan awam yang digunakan jutaan rakyat setiap hari.
Beliau berkata, siasatan yang sedang dijalankan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat perlu dilaksanakan secara telus dan menyeluruh, termasuk meneliti aspek penyelenggaraan aset, prosedur operasi standard (SOP), sistem keselamatan serta operasi tren.
“Kerajaan dan syarikat pengendali perlu memberikan penjelasan penuh kepada orang ramai mengenai punca kejadian ini serta sama ada terdapat kelemahan dalam aspek penyelenggaraan, servis dan pengurusan keselamatan rangkaian rel negara.
“Pengangkutan awam merupakan infrastruktur kritikal. Sebarang insiden melibatkan keselamatan tren tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut yang lebih menyeluruh dan sistemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Low, skop siasatan APAD yang merangkumi penyelenggaraan aset dan sistem keselamatan menunjukkan kemungkinan wujud isu yang lebih mendalam dan bukannya sekadar kegagalan teknikal terpencil.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rangkaian rel negara telah berdepan beberapa gangguan perkhidmatan, kerosakan teknikal dan insiden berkaitan keselamatan.
Ini katanya, menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kebolehpercayaan sistem tersebut.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu menjelaskan sama ada peruntukan semasa bagi kerja-kerja penyelenggaraan mencukupi serta sama ada dana yang disalurkan digunakan secara berkesan untuk meningkatkan standard keselamatan.
“Kerajaan juga perlu mendedahkan jumlah peruntukan tahunan bagi penyelenggaraan dan servis rangkaian rel, perbelanjaan sebenar yang telah digunakan serta sama ada kekangan kewangan menyebabkan kelewatan penggantian peralatan lama atau pengurangan kekerapan kerja penyelenggaraan.
“Ini adalah persoalan yang wajar dan rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas,” katanya.
Low turut menegaskan bahawa keselamatan tidak boleh bergantung kepada nasib baik atau hanya diberi perhatian selepas sesuatu kemalangan berlaku.
Katanya, bagi sistem rel yang telah lama beroperasi, pemeriksaan teknikal berkala yang ketat dan telus perlu dilaksanakan bagi memastikan peralatan kritikal, sistem keselamatan serta infrastruktur landasan sentiasa berada dalam keadaan optimum.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga tidak seharusnya menunggu laporan siasatan siap sepenuhnya sebelum mengambil langkah penambahbaikan.
Sebaliknya, ujar beliau, kementerian itu perlu segera menilai semula kerangka penyelenggaraan dan standard pengurusan keselamatan sistem rel di seluruh negara serta membentangkan laporan komprehensif di Parlimen.
“Rakyat bukan sahaja mahu mengetahui punca insiden ini, tetapi juga mahu jaminan bahawa kejadian sama tidak akan berulang.
“Kerajaan perlu menggunakan insiden ini sebagai peluang untuk memperkukuh penyelenggaraan, pengurusan keselamatan dan pemantauan teknikal sistem rel negara bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan awam,” tegasnya. -MalaysiaGazette















