Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM) menggalakkan semua pusat jagaan kanak-kanak (PJKK) yang masih belum berdaftar di seluruh negara supaya segera melengkapkan proses pendaftaran.

Pengasas dan Pengerusinya, Simon Ng berkata, ia bagi memperkukuhkan piawaian industri serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan terjamin untuk para pelajar.

Simon Ng

Beliau berkata, sistem pendaftaran bukan sahaja membantu meningkatkan mutu perkhidmatan PJKK secara keseluruhan, malah dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa kerana anak-anak dapat belajar dan membesar dalam persekitaran yang lebih tersusun serta dipantau dengan baik.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh sah pendaftaran PJKK daripada lima tahun kepada 10 tahun bagi mengurangkan beban pentadbiran akibat pembaharuan yang terlalu kerap.

Menurutnya, pelanjutan tempoh sah pendaftaran akan membolehkan pengusaha memberi lebih tumpuan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pengurusan, di samping mengurangkan prosedur pentadbiran berulang serta meningkatkan kecekapan operasi industri secara keseluruhan.

“Pengusaha PJKK bukan sahaja bertanggungjawab menjaga pembelajaran dan keselamatan pelajar selepas waktu sekolah, malah turut menanggung kos tenaga kerja, latihan dan operasi.

“Jika tempoh sah pendaftaran dapat dipanjangkan, ia akan membantu pengusaha merancang pembangunan jangka panjang dengan lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, PPJKKM akan terus berhubung dengan pihak berkaitan untuk menyuarakan pandangan industri, serta berharap kerajaan dan pemain industri dapat bekerjasama dalam memajukan industri pusat jagaan selepas sekolah ke arah yang lebih profesional dan sistematik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast