Dr. Mohd Yadzil Yaakob

​KUALA LUMPUR – ​Cukup-cukuplah main catur politik yang entah ke mana hala tuju, fokuslah pada Bersatu, nasihat bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Beliau menyelar tindakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat masih bersikap seperti ‘nakhoda’ gabungan itu meskipun secara rasminya tidak lagi memegang jawatan tersebut.

“Kuatkan jentera, bina kekuatan akar umbi dan jangan sampai parti sendiri jadi ‘penumpang’ yang terlalu bergantung kepada kekuatan parti komponen lain.

“Henghentikan segala gerakan ‘catur politik’ yang tidak berkesudahan sehingga mengabaikan parti sendiri, Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yadzil turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang dengan penuh yakin mengumumkan kononnya PN bakal menyapu bersih kesemua 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

“Tindakan itu agak ‘kelakar’, bagaimana Muhyiddin boleh bertindak sebagai jurucakap utama sedangkan perkara tersebut dipercayai belum melalui proses musyawarah atau keputusan rasmi jawatankuasa PN.

​”Saya masih waras dan tidak pekak atau buta. Seingat saya beliau bukan lagi Pengerusi PN malah bukan juga Setiausaha Agung PN.

​”Jadi, usahlah beria-ia sangat nak ‘pasang badan’ atau buat pengumuman itu dan ini bagi pihak PN. Watikah calon juga tidak berada di tangan beliau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Yadzil turut membongkar sikap pilih kasih dalam pengurusan kemasukan parti komponen ke dalam PN.

“Sebelum ini Muhyiddin begitu ‘liat’ dan mengunci rapat pintu masuk buat empat parti Melayu yang berhasrat menyertai gabungan itu, mungkin atas alasan mahu menjaga eksklusiviti atau bimbang pembahagian kerusi terjejas.

“Senarionya berubah secara drastik hari ini. Tindakan ‘lampu hijau’ yang diberikan kepada Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) untuk menumpang lambang PN, selain kesungguhan untuk menyeludup masuk parti seperti Urimai milik P Ramasamy dan MAP tajaan Datuk Seri Waytha Moorthy.

​”Adakah ini satu strategi ‘penyeludupan’ yang halus? Mungkinkah ini disengajakan untuk melemahkan PN dari dalam?” soalnya.

Mohd Yadzil juga memberikan amaran agar kepimpinan Bersatu tidak terus leka mengejar bayang-bayang sehingga menggadaikan masa depan parti.

“Ingatlah pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’, betulkan sebelum kapal parti itu karam akibat terlalu sibuk menjaga kepentingan pihak lain berbanding memperkasakan diri sendiri.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengumuman itu dilakukan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang malam tadi.

Muhyiddin berkata, pembahagian kerusi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti komponen bagi memastikan strategi terbaik dapat dirangka untuk meraih kemenangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast