JOHOR BAHRU – Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berkuasa kuasa hari ini bertujuan memulangkan semula mandat kepada rakyat Johor untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang stabil dan kukuh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membuat pengumuman berkenaan hari ini berkata, Bangsa Johor akan membuat pilihan tersebut dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu menyeru parti politik, penyokong dan pemimpin yang akan berdepan proses demokrasi itu agar menjaga adab, tertib dan berhemah.

“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor,” katanya berucap dalam pengumuman itu di kediaman rasminya di Saujana di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, pembubaran tersebut dilakukan selepas menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada pagi ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Tengku Mahkota Ismail pada hari ini iaitu 1 Jun 2026.

“Sehubungan itu atas titah perkenan Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran DUN Johor Darul Takzim telah diperkenankan berkuat kuasa 1 Jun 2026 iaitu pada hari ini,” katanya.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast