KUALA LUMPUR – Paparan had bulanan RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 yang menjadi 150 liter semalam adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun ia telah dikenal pasti dan diperbetulkan.
Sehubungan itu, MOF menegaskan bahawa kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95 pada jam 11.00 malam, 31 Mei 2026, sebahagian pengguna mungkin telah melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter.
“Ingin dijelaskan bahawa paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.
“Justeru, ingin ditegaskan tiada sebarang perubahan telah dibuat terhadap had bulanan BUDI95,” katanya.
Tambah kenyataan itu, MOF akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur demi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.
“Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali,” katanya.
Tengah malam tadi, sebahagian pengguna media sosial berkongsi rasa terkejut selepas mendapati had bulanan BUDI95 mereka bagi bulan Jun menjadi 150 liter berbanding 200 liter pada bulan sebelumnya.
Sehubungan itu, mereka menuntut penjelasan kerajaan berhubung pengurangan tersebut memandangkan tiada pengumuman rasmi berkenaan perkara berkenaan dibuat sebelum ini. – MalaysiaGazette
















