Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan seluruh lapisan rakyat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan negara.

“Bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara, rakyat haruslah bersatu hati, bertolak ansur, dan saling hormat menghormati, serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.

“Jangan kita lupa sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan, menghina orang lain, dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini,” titah baginda seperti dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah menegaskan bahawa pengenalan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum dan menjamin keharmonian masyarakat.

“Saya menyeru semua pihak agar menghayati prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup rakyat Malaysia. Malah sejak di bangku sekolah lagi, semua pelajar telah dididik untuk membaca ikrar ini.

“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip tersebut, maka dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast