Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026 yang berlangsung di Singapura dari 29 hingga hari ini.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan pertahanan paling berprestij di rantau Asia Pasifik itu telah mencatatkan beberapa hasil signifikan.

Ia termasuk pengukuhan hubungan pertahanan dengan lebih 10 negara rakan dan penyertaan dalam inisiatif keselamatan infrastruktur bawah laut bersama 16 negara.

Turut dicapai adalah penerokaan peluang kerjasama industri pertahanan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan keupayaan pertahanan negara dan pemerkasaan industri pertahanan tempatan.

Persidangan kali ini telah dibuka secara rasmi melalui ucaptama oleh Presiden Vietnam, Tô Lâm yang menekankan kepentingan memperkukuh kepercayaan strategik, pengurusan persaingan secara bertanggungjawab, ASEAN Centrality, serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.

Mohamed Khaled Nordin ketika menghadiri Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026.

Sepanjang persidangan, Mohamed Khaled telah mengadakan siri pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dan pegawai kanan pertahanan dari Amerika Syarikat (AS); Perancis; Itali; Kanada; Australia; New Zealand; Norway; Republik Czech; Qatar; Singapura dan Thailand.

Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan perkongsian maklumat strategik termasuk Maritime Domain Awareness (MDA), serta mempererat koordinasi dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks.

Malaysia turut memanfaatkan platform ini untuk meneroka peluang kerjasama industri pertahanan melalui pertemuan dengan Embraer Defense & Security.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama yang menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara, pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri pertahanan tempatan.

Antara pencapaian penting Malaysia di Shangri-La Dialogue 2026 ialah penyertaan dalam pelancaran Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges (GUIDE) bersama 16 negara lain.

Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik dalam pertemuan di luar sesi rasmi Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026.

Penglibatan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur bawah laut kritikal yang menjadi tunjang kepada keselamatan, ekonomi dan kesalinghubungan global.

Sementara itu, pada sesi pleno kelima persidangan, Mohamed Khaled menyampaikan pendirian Malaysia mengenai kepentingan pengurusan ketegangan serantau secara bertanggungjawab, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa serta keperluan memperkukuh kerjasama keselamatan global bagi memastikan Indo-Pasifik kekal aman, stabil dan makmur.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap apa yang disifatkan sebagai amalan dwistandard yang semakin ketara dalam penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, pelanggaran undang-undang antarabangsa sering menerima reaksi yang tidak konsisten dan terpilih bergantung kepada pihak yang terlibat.

Beliau berkata, undang-undang antarabangsa sering dilayan seolah-olah hanya wujud di atas kertas, dipatuhi dengan tegas oleh negara-negara majoriti global, tetapi ditafsir secara terpilih oleh kuasa-kuasa besar apabila ia menguntungkan mereka.

Merujuk kepada perkembangan di seluruh dunia, Mohamed Khaled berkata, dwistandard yang sama jelas kelihatan di peringkat global, apabila genosid, jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan sering menerima reaksi terpilih bergantung kepada siapa yang terlibat.

“Institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan untuk mengekalkan kestabilan, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa semakin lemah dalam menghadapi persaingan geopolitik.

“Apabila negara-negara membangun melanggar perjanjian, mereka berdepan kecaman dan tekanan.

“Namun apabila negara-negara berkuasa atau sekutu mereka melakukan perkara yang sama, respons antarabangsa menjadi jauh lebih senyap,” katanya.

Mohamed Khaled Nordin bersama Menter-menteri Pertahanan negara yang menyertai Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026.Penyertaan aktif Malaysia di Shangri-La Dialogue 2026 memperlihatkan komitmen berterusan negara dalam mendukung penyelesaian berasaskan dialog, memperkukuh diplomasi pertahanan dan menggalakkan kerjasama pelbagai hala demi menjamin keamanan sejagat.

Pendekatan ini selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa yang menekankan kepentingan hubungan pertahanan antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara kestabilan serantau.

Turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera,Jeneral Datuk Seri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Laksda Datuk Yusne Mokhtar dan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Amer Mahmud bin Abdul Rahman TUDM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast