KUALA LUMPUR – Ternyata pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 masih cenderung memilih untuk membeli naskhah secara fizikal berbanding dalam talian meskipun platform digital kini menawarkan kemudahan lebih pantas dan meluas.
Tinjauan di PBAKL 2026 mendapati suasana pesta buku yang meriah serta peluang melihat dan memilih buku secara terus menjadi tarikan utama, selain mendorong sebahagian pengunjung berbelanja sehingga ratusan ringgit.

Seperti contoh, pasangan suami isteri, Nurul Amalina Mohamad, 31, dan Shahrul Amri Abdul Hamid 30, berkata, mereka membelanjakan hampir RM300 untuk membeli buku bagi anak-anak buah serta ahli keluarga lain.
Menurutnya, pengalaman berada di pesta buku termasuk berpeluang berinteraksi dengan penulis, menjadikan kunjungan itu lebih bermakna berbanding pembelian dalam talian.

“Kalau beli online memang senang tapi di sini suasananya berbeza. Kita boleh tengok sendiri buku, pilih depan-depan dan kadang-kadang dapat jumpa penulis sekali,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Sementara itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sameer Wafiy Shahrilnizar, 18, dari Ampang turut membelanjakan kira-kira RM300 untuk mendapatkan buku daripada penulis kegemarannya serta beberapa naskhah lain yang menjadi pilihannya.

Katanya, pengalaman membeli secara fizikal di pesta buku memberikan kepuasan yang tidak dapat diperoleh melalui pembelian dalam talian.
“Sebelum ini saya banyak beli online tapi bila datang sendiri, kita boleh pilih terus dan lihat pelbagai tawaran daripada penerbit. Rasa dia memang lebih puas,” katanya.

Bagi pengunjung, Alya Qaisara, 24, dari Shah Alam pula, dia membelanjakan lebih RM100 untuk beberapa bahan bacaan yang dibeli bersama ahli keluarga.

Menurutnya, PBAKL bukan sekadar lokasi membeli buku sebaliknya menjadi ruang untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga sambil menikmati suasana pesta buku.
“Datang dengan keluarga memang seronok. Sambil cari buku, kami boleh jalan-jalan dan luangkan masa bersama. Itu yang buat pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.
PBAKL 2026 yang bermula 29 Mei hingga 7 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan membawa tema “Malaysia Membaca; Merayakan Buku!”.
Penganjuran edisi ke-43 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada industri penerbitan tempatan dan antarabangsa apabila menghimpunkan sebanyak 1,210 reruai daripada 232 syarikat.
Daripada jumlah tersebut, 209 pempamer merupakan syarikat tempatan, manakala 23 lagi adalah penyertaan antarabangsa yang turut memeriahkan pesta buku terbesar negara itu. -MalaysiaGazete
















