Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat dalam meluaskan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki berusia 41 tahun yang dipercayai lemas

TEMERLOH – Seorang lelaki berusia 41 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Pahang berhampiran Kampung Peragap, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Samsul Azmi Ishury, 41, dipercayai sedang berenang merentasi sungai berkenaan sebelum dihanyutkan arus dan hilang daripada pandangan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh digerakkan ke lokasi.

Menurut kenyataan pihak bomba, pasukan tiba di lokasi pada jam 8.02 pagi dan operasi pencarian dijalankan bersama pihak polis berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi, PBK II Muhammad Lutfi Burn Abdullah bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai, hari ini

“Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai berenang untuk menyeberangi Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin telah tiba di lokasi kejadian bagi memperkukuhkan operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan bomba kemudiannya melakukan penilaian awal atau size-up di kawasan kejadian bagi mengenal pasti keadaan semasa, risiko operasi serta menentukan kaedah pencarian yang paling sesuai.

Operasi pencarian melibatkan tujuh anggota BBP Temerloh dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan pacuan empat roda Triton dan sebuah bot aluminium, selain dibantu anggota PPDA yang mempunyai kepakaran dalam operasi menyelamat di air.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast