NIBONG TEBAL – Seorang pekerja kedai serbaneka cedera di kepala dan kedua-dua tangan selepas disamun serta diserang lelaki bersenjatakan parang di sebuah premis di Jalan Sungai Daun, Taman Bistari di sini, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.29 malam itu, suspek turut melarikan wang tunai, beberapa kotak rokok dan sebuah beg silang dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM500.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, mangsa berusia 27 tahun menerima rawatan awal di Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kata beliau, polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian dan sedang menjalankan analisis lanjut termasuk mengenal pasti kenderaan digunakan suspek yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran asing.
“Pihak forensik turut menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mendapatkan bahan bukti yang boleh membantu siasatan.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang terlibat sedang dipergiatkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohd Norazmi, pihaknya telah memulakan siasatan sebaik sahaja laporan diterima dan tindakan tersebut tidak bergantung kepada penularan video kejadian di media sosial.
“Kita mengesan satu video berdurasi tiga minit 18 saat berkaitan kejadian itu yang tular di Facebook melalui akaun ‘Fanny Chen’ hari ini.
“Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Tuan Noremifarahana Tuan Roslan di talian 04-5858222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu tular rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki turun dari sebuah kereta sebelum dua daripadanya bersenjatakan parang memasuki kedai serbaneka berkenaan dipercayai bagi melakukan jenayah samun. – MalaysiaGazette
















