Tangkap layar video tular kejadian kebakaran sebuah premis di pusat beli-belah di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Sistem sprinkler yang berfungsi dengan baik berjaya mengawal dan memadam kebakaran melibatkan panel lampu LED di pusat beli-belah My Town di ibu negara sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian 999 pada pukul 3.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu digegaskan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba tiba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Menurut Komander Operasi, PBK II Mohd Azrul Nizam Abdul Wahab, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan panel lampu LED di dalam premis berkenaan.

“Bagaimanapun, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh sistem sprinkler yang terdapat di dalam bangunan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sistem pencegahan kebakaran serta sistem sprinkler di bangunan tersebut berfungsi dengan baik dan teratur ketika insiden berlaku.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Terdahulu, tular di laman sosial suasana kecoh dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah.

Difahamkan, insiden berlaku di ibu negara ketika orang ramai mengambil peluang menggunakan hari cuti umum untuk bersiar-siar di pusat beli-belah berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast