Screenshot

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor perlu tampil memberi penjelasan yang jujur sebab utama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, BN wajar mengambil tanggungjawab moral tersebut kepada bangsa Johor mengapa pembubaran DUN dibuat.

Sedangkan katanya, tiada krisis politik, tiada kehilangan majoriti dan tiada keperluan mendesak untuk mendapatkan mandat baharu menerusi PRN.

“Bangsa Johor hari ini mempersoalkan tindakan UMNO-BN membubarkan DUN ketika kerajaan sedia ada masih berada dalam keadaan stabil dengan penguasaan 40 kerusi DUN dan 12 kerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai pengimbang.

“PH pada bila-bila masa boleh menyokong setiap dasar dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan dunia sedang berhadapan krisis global termasuk ketidaktentuan harga minyak, gangguan rantaian bekalan serta tekanan ekonomi serantau, kerajaan negeri sepatutnya memberi fokus kepada usaha berterusan memperkukuh serta menjamin kestabilan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Jelas beliau, ini berbanding mengheret rakyat dalam percaturan politik.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai berkata, PRN Johor kali ini dijangka menelan kos sekitar RM90 juta wang rakyat.

Sedangkan jika DUN dikekalkan sehingga tamat tempoh pada April 2027, beliau berkata, PRN dan pilihan raya umum boleh diadakan serentak dan menjimatkan kos serta tenaga pentadbiran.

Katanya, penjawat awam tidak perlu dibebankan dengan proses pilihan raya berulang kali dalam tempoh singkat.

Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan untuk PRN dan keputusan itu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast