ALHAMDULILLAH musim haji 1447H sudah berakhir dan pastinya setiap jemaah haji Malaysia tidak sabar mahu pulang ke tanah air untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Syabas diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) apabila terus mengungguli Anugerah Labbaitom – Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Pastinya, pencapaian bersejarah ini mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai sistem pengurusan haji paling cekap, tersusun dan berkualiti di dunia.
Kejayaan TH ini turut disokong oleh disiplin tinggi jemaah haji Malaysia yang sering mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Malah, jemaah Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai antara jemaah yang paling mematuhi peraturan, menjaga kebersihan serta menghormati sensitiviti masyarakat setempat.
Kejayaan TH ini bukan datang secara kebetulan. Ia merupakan hasil komitmen berterusan TH yang sentiasa meletakkan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah sebagai keutamaan utama dalam setiap aspek operasi haji.
Kecemerlangan TH juga bukan hanya hasil pengalaman puluhan tahun mengendalikan operasi haji, tetapi juga lahir daripada perancangan strategik rapi, sistem logistik yang cekap serta dedikasi tinggi petugas haji yang sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.

Bagi tahun 2026, institusi ini menguruskan kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dalam tempoh lebih 45 hari. Jumlah yang besar ini sudah tentu memerlukan perancangan rapi melibatkan pelbagai aspek termasuk penginapan, pengangkutan, kesihatan, bimbingan ibadah, kebajikan serta pengurusan krisis. Di sebalik kejayaan ini, terdapat ratusan petugas haji termasuk pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus bekerja sejak berbulan-bulan sebelum musim haji bermula. Mereka bukan sahaja bertugas di Malaysia, malah berada di Jeddah, Madinah, Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi memastikan setiap urusan jemaah berjalan lancar.
Pengalaman luas yang dimiliki TH sememangnya menjadi kelebihan, namun faktor tersebut semata-mata tidak cukup untuk mengekalkan kecemerlangan dalam persekitaran operasi haji yang cukup kompleks saban tahun. Kejayaan sebenar terletak pada kemampuan TH menyesuaikan diri dengan perubahan, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memenuhi pelbagai keperluan jemaah yang semakin pelbagai. Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai penambahbaikan dan inovasi dalam operasi haji termasuk penggunaan teknologi digital, sistem pemantauan yang lebih cekap serta koordinasi berterusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi.

Pada masa yang sama, aspek latihan dan pembangunan petugas turut diberikan perhatian serius. Setiap petugas yang dipilih bukan sahaja perlu memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah perlu bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi untuk berkhidmat dalam keadaan yang mencabar, lebih-lebih bertugas di Tanah Suci yang suhunya mencecah 47 darjah Celsius.
Ungkapan “Kami serahkan ibu dan ayah kami kepada Tabung Haji” oleh anak-anak jemaah pastinya menghantui setiap petugas haji kerana amanah dan tanggungjawab tersebut bukan mudah. Tugas mereka bukan sekadar memastikan jadual perjalanan berjalan mengikut perancangan, tetapi berhadapan dengan pelbagai situasi tidak dijangka seperti masalah kesihatan jemaah, kehilangan dokumen, tersesat, kecemasan perubatan serta pelbagai isu kebajikan yang memerlukan tindakan pantas. Tetapi keupayaan dan kemampuan petugas TH menguruskan cabaran tersebut secara profesional menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pengiktirafan berterusan yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi.
Tanggungjawab yang digalas oleh TH dalam mengurus dan menjaga kebajikan jemaah haji yang datang daripada pelbagai latar belakang, tahap pendidikan, umur dan jantina sememangnya amat mencabar. Petugas TH bukan sahaja memikul amanah untuk menyantuni jemaah yang dianggap seperti ibu dan ayah sendiri, tetapi dalam realitinya petugas TH memberi perhatian dan pemantauan rapi kepada jemaah seolah-olah ‘menjaga seorang anak’, terutama apabila melibatkan aspek keselamatan, kesihatan dan pergerakan sepanjang menunaikan ibadah haji.

Apa yang jarang diketahui ramai, petugas TH juga terpaksa meninggalkan keluarga masing-masing selama hampir dua bulan demi memastikan urusan jemaah berjalan lancar. Ada yang meninggalkan anak kecil, ibu bapa uzur dan pasangan di tanah air demi melaksanakan amanah kepada dhuyufurrahman. Dalam kesibukan menguruskan ribuan jemaah, mereka meletakkan keperluan tetamu Allah mengatasi keselesaan diri sendiri. Jadi, apabila jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan selamat, di sebalik kejayaan itu terdapat pengorbanan besar petugas yang bekerja tanpa mengira waktu, termasuk tidak tidur langsung ketika musim kemuncak haji.
Tanggungjawab itu menjadi lebih mencabar apabila petugas TH perlu berdepan dengan pelbagai ragam emosi, tahap kesihatan dan keupayaan jemaah yang berbeza-beza. Ada dalam kalangan jemaah yang memerlukan bantuan untuk bergerak, menguruskan ubat-ubatan dan menyelesaikan jurang komunikasi.
Mengambil maklum tentang pelbagai isu yang wujud, operasi haji yang diuruskan TH cukup teliti sehingga sukar untuk mengesan kelemahan atau kekurangan dengan ketara. Kepercayaan yang diberikan itu bukan amanah kecil. Sepanjang tempoh itu, petugas TH menjadi tempat bergantung, membantu menyelesaikan pelbagai urusan dan bertindak sebagai ‘keluarga kedua’ kepada para jemaah.

Melalui inisiatif Makkah Route (Inisiatif Laluan Mekah) program yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi, jemaah haji boleh menyelesaikan semua prosedur imigresen, kastam, dan cap jari di lapangan terbang negara asal mereka. Bahkan bagasi jemaah ditimbang, dilabel dengan kod khas, dan diuruskan sepenuhnya oleh pihak berkuasa. Begitu juga pengeluaran visa elektronik dan penyelarasan maklumat dilakukan lebih awal sebelum berlepas. Ini membolehkan jemaah terus menaiki bas ke penginapan di Tanah Suci tanpa perlu menunggu lama di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, di Jeddah.
Setibanya di hotel pula, jemaah tidak perlu menunggu bagasi kerana beg dihantar terus ke bilik penginapan masing-masing. Pendekatan ini membolehkan jemaah yang tiba di Makkah atau Madinah boleh terus berehat.

Bagi memastikan pergerakan jemaah dari Madinah ke Makkah yang merentasi padang pasir selamat dan mengikut jadual, TH mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Al Hijrah, Wadi Starah. Terletak kira-kira 240 kilometer dari Madinah dan 200 kilometer dari Makkah, R&R ini berfungsi sebagai pusat sokongan dan pos keselamatan utama sepanjang perjalanan darat jemaah antara dua kota suci. Di tengah-tengah cuaca terik yang membakar kulit dan debu pasir, lima petugas TH ini memastikan setiap jemaah selamat di jalan raya, makan dan minum dan solat sebelum meneruskan perjalanan.

Di Makkah pula, jemaah yang tinggal jauh dari Masjidil Haram disediakan perkhidmatan bas ulang-alik bagi memudahkan urusan ibadah mereka. Pada masa sama, pasukan ‘Semut Hitam’ sentiasa berada di lapangan selama 24 jam untuk memantau pergerakan jemaah, membantu mereka yang tersesat, uzur atau berdepan masalah kesihatan ketika menuju ke Masjidil Haram dan kembali ke penginapan.
Komitmen mereka terserlah apabila menjadi antara petugas terakhir meninggalkan Makkah menuju ke Arafah. Sebelum itu, setiap bilik penginapan akan diperiksa satu persatu bagi memastikan tiada jemaah yang tertinggal, sekali gus menggambarkan betapa telitinya TH dalam menjaga kebajikan dan keselamatan para dhuyufurrahman.
Dalam aspek penjagaan pemakanan, TH membawa chef dari tanah air bagi memastikan jemaah Malaysia masih dapat menikmati cita rasa masakan tempatan meskipun berada ribuan kilometer dari tanah air dan berdepan kekangan mendapatkan bekalan bahan mentah tertentu.
TH cukup menekankan penjagaan kesihatan jemaah sehinggakan berulang kali memberi nasihat supaya mereka tidak keluar pada waktu siang kerana cuaca panas. Bagi menjaga dan merawat jemaah yang memerlukan rawatan, tahun ini TH membawa 225 warga Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada doktor pakar, doktor perubatan, jururawat, perunding fisioterapi dan ahli farmasi. Setiap penginapan disediakan klinik rawatan dan wad kecemasan yang beroperasi 24 jam. Jemaah yang kepenatan atau lenguh kaki dan badan akibat berjalan kaki, unit fisioterapi juga disediakan. Selain itu, mesin-mesin urut diletakkan di laluan jemaah di sekitar tempat penginapan.

Semasa operasi masyair, TH turut menyediakan pasukan perubatan bergerak yang ditempatkan di sepanjang laluan dari penginapan jemaah di Mina hingga ke kawasan melontar jamrah. Kehadiran pasukan ini membolehkan jemaah yang mengalami masalah kesihatan atau keletihan ketika dalam perjalanan menerima rawatan serta bantuan segera di lokasi.
Bagi jemaah warga emas yang datang bersendirian atau mempunyai masalah kesihatan, TH turut menyediakan petugas pengiring bagi membantu dan memantau pergerakan mereka sepanjang melaksanakan ibadah. Langkah ini penting bagi memastikan golongan berkenaan dapat menunaikan semua rukun dan wajib haji dengan selamat, selesa serta sempurna.
Tempoh berjauhan dengan keluarga selama lebih 40 hari di Tanah Suci sudah tentu memberi kesan kepada emosi sebahagian jemaah. Justeru, TH turut memberi perhatian terhadap aspek psikososial dengan membawa bersama kaunselor bagi membantu jemaah yang memerlukan sokongan emosi. Selain sesi kaunseling, pelbagai program dan aktiviti turut dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan serta memastikan kesejahteraan mental dan emosi jemaah sentiasa terpelihara.

Kecemerlangan TH bukan hanya terletak pada aspek pengurusan logistik dan kebajikan jemaah, malah turut terserlah dalam usaha memperkukuh penghayatan ibadah mereka. Sepanjang musim haji, pelbagai program keagamaan dianjurkan merangkumi kuliah, tazkirah dan sesi bimbingan bagi memastikan jemaah sentiasa dibekalkan dengan ilmu serta panduan yang diperlukan.
Dalam era digital, TH juga memanfaatkan teknologi menerusi platform e-TAIB yang membolehkan jemaah mengemukakan persoalan berkaitan ibadah dan memperoleh jawapan daripada pihak berautoriti berdasarkan hukum syarak. Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan jemaah mendapatkan maklumat yang tepat, malah membantu mereka menunaikan ibadah dengan lebih yakin, tenang dan sempurna.
Kejayaan TH tidak boleh diukur semata-mata melalui trofi atau anugerah yang diterima. Nilai sebenar kejayaan itu terletak pada ketenangan hati ribuan jemaah yang dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna serta keyakinan ahli keluarga di tanah air yang mempercayakan insan tersayang kepada TH. Anugerah Labbaitom – Diamond Award hanyalah simbol kepada satu amanah yang berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Lebih besar daripada itu ialah keupayaan TH mempertahankan kepercayaan rakyat Malaysia selama lebih enam dekad dalam menguruskan perjalanan suci menuju Baitullah.

Akhirnya, pengiktirafan yang diterima tahun ini bukan sekadar kemenangan buat TH, tetapi juga kebanggaan seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan institusi itu terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Selagi prinsip khidmat, amanah dan ihsan terus menjadi tunjang operasinya, TH akan terus menjadi kebanggaan negara dan penanda aras pengurusan haji dunia. – MalaysiaGazette
















