KUALA LUMPUR – Enam kedai yang terletak di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran jalan utama di Tanjong Karang musnah hampir keseluruhannya dalam kebakaran yang berlaku lewat malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.27 malam.
Menurut beliau, laporan awal yang diterima memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah lot kedai setingkat.
“Bagaimanapun, maklumat terkini daripada anggota di lokasi mendapati kebakaran sebenarnya melibatkan enam premis kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua premis yang terlibat mengalami kemusnahan dianggarkan 90 peratus akibat kebakaran tersebut.
Katanya, operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 3.54 pagi.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban. – MalaysiaGazette
















