Temubual Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain di Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO menolak dakwaan bahawa parti itu bersikap ‘kacang lupakan kulit’ susulan keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam beberapa pilihan raya negeri khususnya Johor.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, hakikatnya UMNO memainkan peranan besar dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Macam mana pula kacang lupakan kulit? Dia (DAP) dapat jadi kerajaan itu kerana apa? Kerana BN. Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat jadi Perdana Menteri kerana UMNO.

“UMNO yang bagi kepada dia. Bagikan kepada dia kacang dengan kulit-kulit sekali.

“Jadi bagi saya yang lupakan kulit itu adalah dia. Dia makan kacang, dia lupakan kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bangsar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dibangkitkan Pemuda DAP (DAPSY) baru-baru ini berhubung hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Zaidi, pihak yang menuduh UMNO sebenarnya perlu melihat semula sejarah pembentukan kerajaan Persekutuan menerusi konsep Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Kalau hendak bercakap soal kacang lupakan kulit, mereka perlu ingat bagaimana Kerajaan Perpaduan dibentuk.

“UMNO dan BN memberikan kestabilan yang membolehkan kerajaan ditubuhkan ketika itu,” katanya.

Beliau turut mendakwa hubungan antara BN dan PH di beberapa negeri tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Jelasnya, terdapat negeri yang tidak memberikan ruang secukupnya kepada wakil BN dalam pelantikan jawatan di peringkat kerajaan tempatan dan komuniti.

“Walaupun kita ada dua kerusi di Selangor, tetapi kerajaan PH tidak memberikan layanan sewajarnya kepada kita.

“Kuota di peringkat PBT, tak ada. Kuota di peringkat ketua kampung pun tidak diberikan sebagaimana yang sepatutnya sehingga kita terpaksa tolak.

“Jadi kita sudah lama pendam. Tapi bila tiba di Johor, mereka menyalahkan Johor. Mereka mengatakan Johor tak adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan keputusan BN untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai selari dengan kehendak akar umbi parti.

“Rakyat melihat tindakan BN bertanding solo di Johor sebagai keputusan yang tepat.

“Ini juga merupakan kehendak akar umbi yang mahu parti kembali menguji kekuatan sendiri.

“Beberapa kenyataan pimpinan tertinggi UMNO sebelum ini turut memberi petunjuk bahawa pendekatan solo bakal menjadi strategi utama parti,” katanya.

Zaidi juga berkata, kejayaan BN di Johor boleh menjadi penanda aras kepada strategi yang lebih besar pada masa hadapan.

“Mengapa keputusan Johor untuk bergerak solo perlu dipertikaikan sedangkan kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya sama dengan kerjasama di peringkat Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast