Oplus_16908288

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor perlu sedar dan tidak terpedaya dengan naratif Barisan Nasional (BN) Johor bertanding solo dalam pilihan raya negeri (PRN) kerana mereka tetap akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas ini.

Ketua Angkatan Armada Bersatu Johor, Alias Rasman mendakwa, naratif bertanding solo hanya strategi BN negeri dan sentimen tersebut terus dimainkan supaya rakyat percaya.

“Rakyat Johor khususnya generasi muda hari ini pasti sedar dan tidak akan lagi terpedaya dengan naratif bahawa ini hanyalah ‘strategi negeri’.

“Biarpun naratif ‘UMNO-BN tanding solo’ terus rancak dimainkan, akan tetapi rakyat Johor bijak dan sedar UMNO akan terus mengekalkan kerjasama politik dengan PH termasuk DAP.

“Khususnya apabila mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan negeri bersendirian selepas pilihan raya negeri nanti. Kerajaan Negeri Johor-Kerajaan UMDAP berkemungkinan menjadi strategi dan pilihan kedua mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam, bahawa PRN Johor tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan, beliau menyifatkannya sebagai hipokrasi.

“Kenyataan Naib Presiden UMNO bahawa PRN Johor tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan telah secara jelas, terang dan nyata membuktikan hipokrasi politik UMNO.

“UMNO pula meminta rakyat menerima alasan kononnya landskap politik telah berubah. Kenyataan ini juga menzahirkan keinginan UMNO untuk mengekalkan kuasa politik walaupun dilihat sanggup menggadaikan prinsip dan idealisme perjuangan mereka,” katanya.

Pendekatan UMNO itu katanya, dilihat cuba meremehkan kebijaksanaan rakyat Johor.

“UMNO-BN mahu bertanding secara solo di Johor tetapi pada masa yang sama terus mempertahankan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.

“Armada Negeri Johor yakin rakyat Johor sudah siap siaga menghumban Kerajaan UMDAP dalam PRN Johor kali ini,” katanya.

Semalam, Khaled Nordin mendakwa, PRN Johor tidak akan menjejaskan hubungan kerajaan Perpaduan walaupun nanti akan berbeza kerajaan di peringkat negeri nanti.

Khaled Nordin berkata, ini kerana zaman politik dominiasi sudah berakhir dan kini merupakan era politik baharu.

“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kena terima hakikat, bahawa keadaan sekarang tak sama macam dulu. Dalam politik baru sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi.

“Jadi, mungkin di Pusat kerajaannya begini, mungkin di negeri kerajaannya begini. Dah kita telah lihat di Pusat (parti) Warisan sebagian daripada kerajaan, di negeri Sabah, dia tidak, dia (jadi) pembangkang.

“Di Johor pula 100 peratus semua kerajaan Barisan Nasional. Di Melaka ada DAP, begitu. Jadi di negeri dia boleh pelbagai-bagai,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Di Penang..tak de pun kerajaan Perpaduan..PH-DAP solo jaa..tak plak ko menyalak yer .

Comments are closed.