AMPANG – Seorang penjaga rumah kebajikan yang mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki dihukum penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Ho Kwong Chin menjatuhi hukuman tersebut terhadap Retna Velu, 25, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah sebaik sahaja sembilan pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Tamil.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapannya pada 3 April lalu.
Sepanjang prosiding, tertuduh dilihat beberapa kali memandang ke arah ahli keluarga mangsa yang hadir di galeri awam mahkamah.
Ketika diberikan peluang membuat rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam hanya berulang kali memohon agar hukumannya dikurangkan.
Malah sebelum keputusan dibacakan, dia beberapa kali mengulangi permintaan sama tanpa memberikan sebarang alasan atau penjelasan lanjut.
Hakim turut bertanyakan sama ada tertuduh mempunyai perkara lain untuk dikemukakan bagi menyokong rayuannya, namun dia hanya mengulangi permohonan supaya hukuman diringankan dan enggan menambah sebarang kenyataan lain.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan kesalahan serius yang memberi kesan mendalam kepada mangsa.
Menurut beliau, hukuman tegas wajar dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh selain bertujuan melindungi kepentingan awam dan memberi mesej pencegahan kepada masyarakat.
Turut hadir mengikuti prosiding ialah peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Kirthen Subramaniam dan Premila Subramaniam.

ketika ditemubual wartawan selepas Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan hukuman terhadap seorang penjaga pusat jagaan kanak-kanak yang mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki di Mahkamah Ampang. Foto SADIQ SANI, 21 MEI 2026.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual secara fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Gombak antara November 2025 hingga Mac tahun ini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(b), Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b), pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan sebatan, manakala Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ini merupakan sabitan kedua melibatkan tertuduh dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 21 Mei lalu, dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen berasingan selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan amang seksual serta persetubuhan bertentangan aturan tabii membabitkan dua kanak-kanak lelaki.
Kes rumah kebajikan berkenaan mula mendapat perhatian umum selepas beberapa penghuni tampil mendakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendakwa menjadi mangsa liwat sejak dua tahun lalu, manakala seorang lagi remaja berusia 15 tahun turut membuat dakwaan serupa.
Kes berkenaan didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S. Maran yang mendakwa selain pengasas rumah kebajikan terbabit, terdapat individu lain yang turut dikaitkan dengan kes amang seksual melibatkan ramai penghuni. -MalaysiaGazette
















