GEORGE TOWN – Citaglobal Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB) memperoleh subkontrak bernilai RM37.79 juta daripada SRS Consortium Sdn Bhd bagi kerja pembinaan di bawah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Pulau Pinang.
Citaglobal dalam kenyataan berkata, subkontrak itu melibatkan Sub-Pakej LS03 yang merangkumi pembinaan dan penyiapan rentang panjang, rentang khas serta kerja-kerja berkaitan dari Komtar ke Jelutong Timur seperti yang diperincikan dalam dokumen subkontrak.
CLSB menerima Surat Anugerah (LOA) pada 18 Mei lalu dan dikehendaki mematuhi syarat-syarat subkontrak serta menandatangani perjanjian dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh LOA.
“CLSB turut dikehendaki mengemukakan bon prestasi berjumlah RM1.89 juta dalam tempoh 14 hari daripada tarikh LOA. Susulan penerimaan LOA berkenaan, nilai perolehan kontrak kumpulan Citaglobal secara proforma kini mencecah kira-kira RM1.45 bilion setakat tarikh pengumuman tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Untuk rekod, LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.
Sebagai sistem transit metro bersepadu pertama di utara, ia direka untuk meningkatkan hubungan bahagian pulau dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan akses. – MalaysiaGazette
















