JOHOR BAHRU – Dua beradik yang maut dalam kebakaran kebakaran di rumah mereka di Taman Ehsan Jaya di sini Isnin lalu, sempat membuat panggilan kepada ibunya sebelum insiden berkenaan.
Kenalan kepada keluarga mangsa, Tan Tuan Peng berkata, ketika itu Ibu mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Bagaimana tidak lama kemudian panggilan tidak terjawab, kami difahamkan api marak dengan cepat hingga jiran-jiran tidak mampu menolong.
“Kedua-dua remaja perempuan berkenaan kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.
Kebakaran kira-kira pada pukul 9 malam itu mengakibatkan Wong Yee Jie, 15, dan adiknya Wong Yee Ning, 13, maut dalam rumah berkenaan.

Tuan Peng berkata, kejadian itu amat mengejutkan apatah lagi mereka tidak ada adik beradik lain.
“Mereka ‘bidadari’ yang menjadi kesayangan ibu bapanya kembali ke alam abadi dalam sekelip mata, tiada lagi penghibur keluarga.
“Hari ini merupakan perjalanan terakhir mereka, kami hadir bagi memberi sokongan moral.
“Pasangan itu hanya memiliki dua cahaya mata, kini kedua-duanya sudah pulang kepada pencipta, harap mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Upacara pengembumian dua beradik berkenaan berlangsung di Pure Karma Buddhist Centre Memorial Hall di Taman Desa Cemerlang di sini sebelum dibawa ke Krematorium Nirvana di Ulu Tiram hari ini.
Terdahulu beberapa wakil sekolah mangsa hadir bagi memberi penghormatan akhir sebelum menyerahkan barangan milik mendiang kepada ibu mereka hingga wanita berkenaan sebak.

Isnin lalu, media melaporkan dua mangsa kebakaran ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di Taman Ehsan Jaya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.06 malam.
Kebakaran membabitkan rumah teres struktur kekal dua tingkat yang mana 60 peratus daripadanya musnah.
Anggota bomba menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat atas rumah.
Pihak bomba memberi rawatan awal dan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebelum disahkan meninggal dunia.- MalaysiaGazette
















