Gandipan Nantha Gopalan dan Cheong Huei Ting.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) Petaling Jaya mengecam sekeras-kerasnya tindakan menyekat akses sistem MyKhas terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen seperti dilaporkan media.

Dalam satu kenyataan, PSM berkata, sekatan tanpa sebarang makluman atau penjelasan rasmi itu merupakan satu bentuk salah guna kuasa, di mana peruntukan kebajikan rakyat dijadikan sebagai alat politik untuk menundukkan suara yang berbeza pandangan.

Menurutnya, kehilangan akses itu secara langsung melumpuhkan pengurusan peruntukan kawasan, bantuan kebajikan dan pembangunan infrastruktur setempat.

“Tindakan menghukum wakil rakyat yang kritikal ini menghantar mesej berbahaya kepada masyarakat: sesiapa yang tidak akur dengan keputusan kerajaan akan menerima padahnya,” katanya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PSM Petaling Jaya, Gandipan Nantha Gopalan dan Setiausahanya, Cheong Huei Ting.

Berdasarkan laporan media, akses Chean Chung kepada sistem MyKhas dilaporkan telah disekat sejak 29 Mei lalu, maanakala Wong Chen pula menghadapi situasi yang sama sejak 22 Mei lalu.

Tambah kenyataan itu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini benar-benar menjulang semangat, mereka wajib meninggalkan taktik lapuk rejim lama yang gemar menggunakan ugutan untuk menentang kritikan dan mensabotaj kerjaya politik pihak lain.

Tegasnya, kerajaan perlu sedar bahawa mangsa sebenar dalam permainan politik ini ialah rakyat biasa.

Ujarnya, sekatan itu menjejaskan kelancaran Projek Mesra Rakyat (PMR) serta bantuan lain yang amat diperlukan oleh komuniti setempat untuk berdepan dengan realiti ekonomi yang mencabar hari ini.

“Pembinaan negara yang maju memerlukan pengagihan sumber daya dan infrastruktur yang adil, bukannya sekatan yang membebankan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, PSM Petaling Jaya mendesak agar kerajaan mengembalikan semula akses sistem MyKhas kepada ahli-ahli Parlimen yang terjejas dengan serta-merta.

Ujarnya, isu itu bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal ketelusan dan maruah demokrasi negara.

“Kerajaan Persekutuan perlu henti menggunakan dana awam sebagai senjata politik dan memberikan penjelasan yang jujur dan telus kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast