TAMPIN – Kurang 12 jam selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, suasana di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin di sini pagi ini bertukar kecoh.
Ini selepas beberapa pembesar adat negeri itu tidak dibenarkan memasuki kawasan balai untuk menghadiri Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Insiden yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu mencetuskan pertikaman lidah antara pembesar adat dan pihak berkuasa yang berkawal di pintu masuk utama selepas mereka dimaklumkan tidak boleh memasuki kawasan berkenaan.
Antara yang terlibat ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin serta Datuk Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Turut berada di lokasi ialah Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.
Muhammed yang kelihatan tidak berpuas hati dengan situasi itu mempersoalkan tindakan menghalang pembesar adat memasuki kawasan balai dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan institusi adat Negeri Sembilan.
“Saya minta kerjasama, tanggungjawab saya kalau jadi apa-apa rusuhan atau ketidakpuasan hati. Kalau nak ambil tindakan, panggil saya ke balai.
“Di luar bukan saya yang jaga keselamatan. Saya minta kerjasama, jangan malukan institusi adat.
“Kalau Majlis Raja-Raja, tuan-tuan boleh tahan ke? Sama juga dengan DKU ini. Buka sekarang, saya nak masuk,” katanya kepada pihak berkuasa yang bertugas.
Beliau turut menegaskan walaupun memahami anggota keselamatan hanya melaksanakan arahan, kedudukan dan peranan Datuk Undang perlu dihormati.
“Saya faham kamu ikut arahan, tetapi arahan saya siapa nak ikut? Saya Datuk Undang, saya tahu.
“Kamu harus hormat Datuk Undang. Arahan saya siapa nak ikut?” soalnya tegas.
Rais turut mempertikaikan larangan tersebut dan mempersoalkan tindakan menghalang pembesar adat yang hadir atas urusan rasmi.
“Ini lebih teruk daripada komunis. Apa kesalahan kami di sini? Ini pihak Diraja Negeri Sembilan,” dakwa beliau.
Ketegangan itu bagaimanapun mula reda apabila Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman tampil memberikan penjelasan kepada kumpulan pembesar adat yang berkumpul di hadapan pintu masuk utama.
Amiruddien memaklumkan pihak polis yang bertugas hanya melaksanakan arahan yang diterima dan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan berkenaan.
Situasi akhirnya berjaya diselesaikan selepas Tunku Besar Tampin, Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri tampil sendiri di pintu masuk utama dan mengarahkan supaya pintu pagar dibuka.
Polis kemudiannya akur dan membuka laluan bagi membolehkan kesemua pembesar adat serta jemputan kenamaan memasuki kawasan balai untuk menghadiri Sidang Khas DKU.
Bagaimanapun, pengamal media dan orang ramai masih diminta menunggu di luar kawasan balai sehingga urusan sidang selesai.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Menurut Aminuddin, pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diperoleh dalam sesi menghadap di Istana Besar Seri Menanti.
Pembubaran tersebut membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat bagi memilih kerajaan negeri baharu untuk tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette
















