Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan malam tadi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu tidak berkongsi lanjut butiran mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut, sebaliknya hanya menyifatkan ia sebagai ‘pertemuan biasa’.

“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya seperti dilaporkan portal Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila hari ini.

Terdahulu, tular gambar di media sosial yang memaparkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilihat hadir di sebuah hotel di sini, yang dikatakan menjadi lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO malam tadi.

Kehadiran Idris itu ketika wujud beberapa gesaan daripada pemimpin Pas supaya UMNO menimbang semula keputusan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berunding dengan parti itu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berpandangan sudah tiba masanya Muafakat Nasional 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang beberapa PRN yang bakal berlangsung.

Menurutnya, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Beliau berkata, pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan Bumiputera. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast