KUALA LUMPUR – Pas akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, Isnin ini, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ia susulan kebimbangan serius yang disuarakan Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).
“Ulama (MSU) telah bermuzakarah dan telah membuat keputusan terpulang kepada (Pas) Pusat, bila nak umum, apa keputusan yang patut diambil.
“Isnin ini, insya-Allah, kita akan bincang semua,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pimpinan Pas Pusat akan mendengar taklimat daripada Pas Johor dalam mesyuarat sama Isnin ini, berhubung perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, ia bagi membolehkan Pas Pusat membuat pertimbangan berhubung kerusi-kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN Johor tersebut.
“Pada dasarnya kita akan bertanding, tapi akan dilihat dari segi pengaruh, peluang kita untuk kempen dan calon-calon yang sesuai.
“Alhamdulillah kita ada ramai tokoh yang boleh jadi calon dalam Pas hari ini. Tapi dari segi kerusi itu belum dimuktamadkan lagi,” katanya.
Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, Pas juga akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) malam tadi.
Menurutnya, Pas melahirkan keyakinan mampu menambah tiga kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Negeri Sembilan lalu, mengambil kira faktor kekalahan majoriti tipis calon-calon parti itu sebelum ini.
Sementara itu, ditanya berkenaan gesaan supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula, Abdul Hadi berkata, Pas kekal dengan pendirian untuk menyatukan orang Melayu dan Islam selaku pemimpin negara.
Dalam masa sama, ujarnya, kerjasama itu wajib mengambil kira masyarakat majmuk iaitu bukan Islam yang tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan.
Pertimbangan lain, ujar beliau, adalah dengan mengajak parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta kalangan bukan Islam yang berpengaruh dalam kerjasama tersebut. – MalaysiaGazette















