KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menyifatkan kegagalan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) untuk mengakses portal MyKhas bagi urusan pengagihan bantuan dan peruntukan kepada rakyat tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
Menurutnya, sama ada ia berpunca daripada masalah teknikal atau merupakan tindak balas terhadap kehadiran mereka dalam program Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, ia tidak sepatutnya berlaku ke atas wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kata beliau, sekiranya kehadiran mereka ke program bekas pemimpin PKR berkenaan dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan atau tindakan keluar parti oleh pimpinan PKR, maka sewajarnya tindakan tegas diambil secara konsisten dengan memecat keanggotaan semua wakil rakyat yang terlibat serta-merta.
“Kita perlu mengingatkan semua pihak bahawa antara janji utama Manifesto PH PRU15 adalah mempertahankan demokrasi serta memastikan peruntukan kawasan diberikan secara adil kepada semua Ahli Parlimen.
“Malangnya, sehingga hari ini janji tersebut masih belum direalisasikan sepenuhnya.
“Malahan terdapat wakil rakyat kerajaan sendiri yang dilihat dinafikan haknya kepada peruntukan hanya kerana mempunyai pandangan berbeza dalam isu dasar dan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Chun Kuang yang juga Naib Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, PKR lahir daripada semangat reformasi yang memperjuangkan kebebasan bersuara, keadilan institusi dan demokrasi yang matang.
Sehubungan itu, ujarnya, PKR seharusnya bergerak ke arah negara yang lebih terbuka, demokratik dan progresif, bukannya mengulangi budaya politik yang pernah kita tentang suatu ketika dahulu.
“Apa yang salah perlu diperbetulkan, dan apa yang betul perlu diteruskan.
“Jangan jadikan reformasi sekadar slogan yang dilaungkan di pentas ceramah, tetapi sebalik dalam pelaksanaan.
“Semangat reformasi mesti diterjemahkan melalui tindakan, dasar dan amalan politik yang konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette
















