Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin melahirkan rasa hairan dengan tindakan pemimpin PKR yang menyokong penuh sekatan akses MyKhas terhadap Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Sedangkan, kata beliau, sekatan kepada Ahli Parlimen yang dikatakan pro-Datuk Seri Rafizi Ramli daripada menggunakan peruntukan mereka itu jelas dilihat sebagai tindakan kuku besi oleh Kerajaan Madani.

Malah, dakwanya yang merupakan pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) wilayah Sabah, beberapa tindakan Kerajaan Madani sebelum ini juga dilihat jauh lebih kejam berbanding kerajaan terdahulu, namun tanpa segan silu berselindung di sebalik `topeng Madani’.

Menurutnya, kedua-dua Ahli Parlimen Subang dan Petaling Jaya itu tidak pernah mengisytiharkan keluar PKR apatah lagi meletakkan jawatan, sebaliknya masih bertindak sebagai Ahli Parlimen kepada Kerajaan Madani.

Namun, dakwanya, hanya kerana menghadiri majlis rakan politik, maka Kerajaan Madani menyekat peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah kecil di kawasan Parlimen mereka.

“Nampaknya benarlah kuasa yang terlalu besar boleh menjadikan seorang reformis menjadi manusia zalim.

“Sebab itu bagi sesetengah orang yang hairan struktur Parti Bersama yang lain dari lain, ia adalah sebagai langkah memisahkan kuasa kerajaan dan parti politik.

“Jika tidak ia akan jadi seperti yang terjadi hari ini, akses peruntukan seseorang Ahli Parlimen kerajaan boleh disekat hanya kerana berkawan dengan individu yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada apa yang dilakukan kepada Wong Chen dan Chean Chung itu merupakan apa yang diharapkan rakyat daripada kerajaan hari ini untuk melakukan reformasi institusi.

“Selepas 27 tahun diperjuangkan hari ini kerajaan Madani tidak ada bezanya dengan kerajaan sebelum ini malah dilihat lebih zalim…Sungguh mudah melupa diri hanya tiga tahun berada di takhta…,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast