Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis tidak menjumpai sebarang elemen paksaan dalam siasatan berhubung dakwaan tular seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol dan cabul berulang kali oleh seorang siak di bilik jenazah sebuah masjid di Melaka Tengah di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan itu, kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Menurutnya, terdahulu siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 9.12 pagi semalam  daripada seorang wanita berusia lingkungan 50-an.

“Pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki berusia 48 tahun di bilik jenazah sebuah masjid di sekitar Melaka Tengah.

“Isu berkenaan turut tular dan menjadi bualan masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, hasil keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu Dzulkhairi berkata, kes berkenaan telah diserahkan kepada JAIM bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri.

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan siak yang tular terkait kes berkenaan  sudah meletakkan jawatannya Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, pihak masjid tidak dapat mengesahkan punca lelaki itu meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast