TAMPIN – Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar didakwa dihalang pihak polis daripada meninggalkan sebuah hotel di Melaka untuk menghadiri satu majlis rasmi di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin hari ini, kata Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.
Menurut beliau, Tunku Nadzaruddin yang dijadualkan menghadiri majlis berkenaan tidak dapat berbuat demikian selepas dipercayai disekat daripada keluar dari lokasi penginapannya.
“Tunku berada di hotel itu dan mahu datang ke sini, tetapi dipercayai dihalang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin.
Rais berkata, beliau dimaklumkan Tunku Nadzaruddin sepatutnya menghadiri program rasmi yang berlangsung di lokasi tersebut bersama beberapa tetamu jemputan lain.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pihak yang mengeluarkan arahan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Rais turut mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan malam tadi tidak mendapat perakuan daripada Undang Luak Yang Empat.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, keputusan pembubaran DUN itu dibuat tanpa perakuan empat Undang Luak yang mempunyai peranan penting dalam sistem pemerintahan Adat Perpatih Negeri Sembilan.
“Dari apa yang saya difahamkan, pembubaran itu tidak mendapat perakuan Undang Luak Yang Empat,” katanya.
Dakwaan tersebut muncul ketika Negeri Sembilan berdepan perkembangan luar biasa membabitkan institusi diraja negeri.
Terdahulu, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dilaporkan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu majlis di Tampin hari ini.
Perkembangan itu berlaku ketika Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan terus diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang unik berasaskan Adat Perpatih, dengan pemilihan Yang di-Pertuan Besar melibatkan empat Undang Luak utama iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.
Malam tadi kira-kira jam 11.30 malam, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). -MalaysiaGazette
















