BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dirinya lebih memilih untuk bekerjasama daripada berlawan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengharapkan kerajaan yang tenang menerusi kerjasama politik tersebut dan terus bekerja untuk rakyat.
“Sebenarnya ini bukan pilihan saya. Pilihan saya adalah meneruskan kerjasama, menjaga ekonomi negara, menangguhkan semua pilihan raya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha membantu rakyat.
“Saya mahu kerajaan yang tenang. Pilihan saya terus bekerjasama, pilihan saya jaga rakyat, pilihan saya tangguh semua pilihan raya dan kerja kuat selamatkan ekonomi rakyat. Adakan pilihan raya negeri itu, bukan pilihan saya.
“Tetapi hendak adakan pilihan raya baharu, hendak kumpulkan orang dan berpolitik semula, itu pilihan mereka. Saya tidak ada pilihan, bila mereka mahu lawan, kita lawan,” katanya.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini malam ini.
Namun beliau menegaskan, PKR dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan, Anwar berkata, pengalaman di Johor memberi banyak pengajaran kepada PH khususnya dalam menghadapi perubahan sentimen pengundi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan Perpaduan telah bekerja keras memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara bagi membolehkan pelbagai inisiatif ekonomi dilaksanakan demi manfaat rakyat.
Beliau memberi contoh kekuatan nilai ringgit yang semakin pulih serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai hasil daripada kestabilan politik dan dasar ekonomi yang konsisten.
Menurutnya, beliau sendiri terpaksa melakukan pelbagai lawatan kerja ke luar negara termasuk bagi membuka peluang pelaburan dan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara
“Saya mahu negara fokus kepada pembangunan ekonomi dan penyelesaian masalah rakyat. Dalam keadaan dunia masih bergelut dengan pelbagai krisis dan konflik, keutamaan kita sepatutnya adalah memperkukuhkan ekonomi negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















