JOHOR BAHRU – Parti Progresif Penduduk (PPP) berhasrat bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, perkara berkenaan sudah disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam.
“Walau apa pun kita serahkan kepada Onn Hafiz dan sokongan tidak berbelah bahagi akan terus diberikan kepada BN walaupun tidak berjaya mendapatkan dua kerusi DUN untuk ditandingi itu.
“Memang kita ada berbincang dengan BN dan kita juga berharap akan dapatlah perhatian BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP Keenam di Hotel Amari di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden PPP, Datuk Mohan Kandasamy dan Ketua PPP Negeri Johor, V Krishnan.
Loga berkata, sekiranya BN Johor tidak sempat untuk melakukan agihan kerusi untuk PPP, pihaknya tidak akan membuat tuntutan dan akan tetap membantu BN.
“Kita faham kalau sudah kesuntukan masa, kita tidak akan buat demand, kalau BN rasa kali ini bukanlah masanya, kita tetap beri keyakinan, kita akan bantu mereka untuk menangkan BN.
“Kita minta dua kerusi tetapi kita tidak akan pressure beliau (Onn Hafiz), kita berserahlah, tengok macam mana beliau agihkan, beri ruang untuk beliau buat keputusan.
“(Jika tidak dapat kerusi) Kita tidak akan jadi budak-budak, nak merajuk ke, tidak sebab kepentingan dan keutamaan kita adalah rakyat yang sudah rasa tertekan sekarang,” katanya.
Mengenai mesyuarat berkenaan, Loga berkata, parti itu berbincang mengenai perkembangan sokongan mereka kepada BN selain berbahas mengenai isu yang sedia ada di Johor.
Pihaknya sudah mendapat maklum balas rakyat bahawa mereka mahu BN kembali menjadi kerajaan kerana gabungan itu adalah satu parti yang boleh membawa kejayaan dan pembangunan untuk mereka.
Beliau berkata, PPP sudah memulakan kerja-kerja menghadapi PRN seawal Mac lalu bagi membantu sebarang persiapan yang sedang dilakukan di peringkat negeri.
“Hari ini, kita telah agih-agihkan tugas kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi yang akan membantu dua negeri bagi menghadapi PRN iaitu Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Loga, beliau sendiri akan mengetuai jentera PPP di Johor dengan dibantu Krishnan.
“Ada permintaan daripada Pengerusi BN Johor (Onn Hafiz) untuk PPP memberi tumpuan kepada beberapa kawasan, jadi kita akan beri tumpuan kepada kawasan-kawasan itu, kita akan gunakan jentera kita untuk bantu BN,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















