Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2026.

BATU PAHAT –  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang diadakan serentak cukup penting bagi kesinambungan kestabilan politik negara serta mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke  berkata, selepas konvensyen PH di Johor Bahru pada 17 Mei depan, tumpuan diberikan kepada Negeri Sembilan.

“Pada konvensyen PH di Johor Bahru, 17 Mei lalu, saya cadangkan kalau Johor bubar, Negeri Sembilan juga bubar. Jika BN Johor lawan 56, kerusi DUN, PH Negeri Sembilan akan lawan 36 kerusi DUN.

“Johor bubar pada 1 Jun, esoknya Negeri Sembilan belum bubar, ramai ejek saya, ejek PH kata bila mahu bubar. Kita sabar dua hari, di Negeri Sembilan ada proses, perlu dapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan kemudian bubar DUN pada 4 Jun. Yang penting kita mahu PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan serentak, kita lawan di Johor dan Negeri Sembilan sama-sama. Sekarang game is on,” katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini malam ini.

Setiausaha Agung DAP itu menambah, kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai dasar dan polisi yang memberikan manfaat kepada rakyat termasuk subsidi minyak.

“Ini termasuklah subsidi petrol yang masih dikekalkan RM1.99, seorang dapat 200 liter. Kita minta rakyat lihat fakta, satu dunia naikkan harga minyak tetapi di Malaysia kita turunkan harga minyak.

“Jika mahu perkara itu dikekalkan, maka kita kena pastikan politik di Putrajaya kekal stabil. Untuk itu rakyat Johor dan Negeri Sembilan perlu berikan sokongan dan undi kepada PH supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dapat pimpin Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast