JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan menjadi pencabar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke -16.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, namun PKR bersama-sama gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) sedia berdepan dengan mana-mana lawan pada PRN Johor.
“Sudah menjadi kelaziman dalam amalan demokrasi di negara ini yang membenarkan mana-mana parti untuk mengambil bahagian dan bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi, kita mengambil sebagai satu pendekatan terbuka dengan mengalu-alukan semua parti yang berhasrat untuk bertanding, kalau bukan Bersama pun, ada parti-parti lain akan bertanding.
“Apabila ada parti baru muncul, memang akan mengganggu-gugat kepada status quo. Jadi, ia bukan saja memberi kesan kepada PKR, tetapi juga kepada semua parti,” katanya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Kimia Johor di Jabatan Kimia Negeri Johor di sini hari ini.
Pada 17 Mei lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengambil alih Bersama.
Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party didaftarkan pada 2016 di Pulau Pinang.
Ditanya mengenai kewajaran PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan diadakan secara serentak, Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata, perkara itu bergantung kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebenarnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah pun dibubarkan dan apa yang berlaku sekarang adalah isu dalaman istana. Jadi, kita tidak campurlah.
“Sebagai ahli politik, memang kita lihat negeri sudah pun bubar, maka kita akan beri tumpuan untuk menghadapi PRN,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















