Foto: FB Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan sudah mempunyai senarai nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, senarai calon itu akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diperhalusi dan dipersetujui.

Menurutnya, senarai calon UMNO Negeri Sembilan itu terdiri daripada muka lama dan baharu, orang muda serta wanita dengan pelbagai latar bidang pendidikan.

Tambah beliau, Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pembahagian kerusi turut melibatkan parti komponen MIC dan MCA.

“Bagaimanapun, pembahagian kerusi berkaitan akan diputuskan pada satu mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya pada majlis perkahwinan lapan pasangan pengantin serentak di Masjid Dato Undang Luak Jelebu, hari ini seperti dilaporkan portal BH Online.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan semalam sekali gus memberi laluan kepada PRN ke-16.

Dalam PRN Ke-15 pada Ogos 2023, UMNO-BN menang 14 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, semua perkara berkaitan PRN akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan termasuk kerusi yang ditandingi UMNO seperti DUN Jeram Padang.

Katanya, UMNO negeri sudah bersedia dan menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN kali ini. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast