BATU PAHAT – Alasan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bagi memastikan kestabilan politik tetapi saya sendiri tak tahu di mana kelam-kabutnya politik Johor sebelum ini.
Demikian kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Menurut beliau, angka Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah selesa dengan 40 kerusi.
“Bagi saya ini hanyalah sebagai satu lagi percaturan politik sempit. Kepentingan rakyat sekali lagi digadaikan demi agenda kuasa kelompok tertentu, tatkala negara dan dunia sedang bergelut dengan krisis ekonomi global yang menghimpit,” katanya Ketika berucap di majlis Peluncuran Jentera Pakatan Harapan (PH) di sini malam ini.
Katanya, situasi hari ini dilihat sangat menguji apabila wujud jurang pemisah yang jelas di antara kehendak pemimpin politik dan realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
”Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Ada yang masih bingung di peringkat Persekutuan dan negeri yang dilihat tidak sekata serta tidak sehaluan sehingga menimbulkan persoalan besar, apakah sebenarnya pendirian kita?
“Ketika pakar ekonomi menjangkakan bulan Jun dan Julai ini sebagai waktu yang paling kritikal ekoran pergolakan dunia, krisis ekonomi serta isu rantaian bekalan minyak ada pula segelintir pemimpin seolah-olah menutup mata demi survival politik sendiri.
”Di saat rakyat terkesan, ada pihak yang seolah-olah menangguk di air keruh. Ini peluang untuk mereka mengambil alih atau mengukuhkan kuasa,” katany lagi.
Jelasnya, apa yang diharapkan sebaiknya adalah peluang yang ada digunakan untuk menyelamatkan ekonomi rakyat tetapi berlaku sebaliknya.
”Ini satu percaturan politik yang sempit, tidak bertanggungjawab dan sengaja menggunakan peluang ini untuk menimbulkan kekacauan.
“Parut lama kegilaan kuasa pemimpin sebelum ini masih belum sembuh dalam ingatan rakyat apabila PRN Sabah dulu dilaksanakan ketika negara diancam awal pandemik Covid-19 sehingga mengorbankan banyak nyawa.
“Kemudian pilihan raya tercetus ekoran perbalahan dalaman Muafakat Nasional yang akhirnya mengheret seluruh negara ke kancah ketidakstabilan,” ujarnya.
Tambah Muhammad Kamil, pihak-pihak ini dilihat langsung tidak belajar daripada pengalaman lalu.
“Ini bukan saat dan waktunya untuk mencatur kuasa politik. Sebaiknya, kita semua menggemblenglah seluruh tenaga yang ada untuk memulihkan ekonomi kerana itulah keutamaan rakyat yang paling mendesak ketika ini,” ujarnya lagi.
Walaupun terkilan dengan situasi yang berlaku, Muhammad Kamil berkata, PH tidak mempunyai pilihan selain berdepan dengan PRN ini demi mempertahankan hak rakyat.
“Saya percaya kepada kebijaksanaan formula minda pengundi Johor untuk menilai pihak yang benar-benar ikhlas bekerja berbanding pihak yang hanya tahu merencana agenda peribadi.
”Saya yakin rakyat boleh berfikir dan menilai sendiri, siapa yang benar-benar buat kerja untuk mereka dan siapa pula yang hanya tahu mencatur.
”Untuk PRN Johor kali ini, kita mahu menghantar wakil rakyat yang benar-benar sedia bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan politik semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette
















