KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78, ditemukan mati lemas dalam sungai berhampiran Kampung Teluk Bagan, Alor Setar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.50 pagi tadi berhubung seorang lelaki dipercayai lemas di lokasi berkenaan.
Sebuah jentera bersama lima anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Salim Abdul Razak kemudian dihantar ke lokasi.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya.
Menurut beliau, mangsa ditemukan pada jam 8.05 pagi sebelum dibawa naik ke tebing sungai pada jam 8.18 pagi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rutin harian mengalihkan kenderaan dari kawasan rumah ke lokasi berhampiran sungai di sebelah kediamannya.

Jelas beliau, kali terakhir ahli keluarga melihat mangsa adalah pada kira-kira jam 11.30 malam semalam sebelum menyedari kehilangannya pada jam 5 pagi hari ini.
Keluarga menurutnya, menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran Sungai Teluk Bagan dan mengesyaki beliau terjatuh ke dalam sungai sebelum membuat laporan polis.
Sebuah Perodua Kancil berwarna putih dipercayai telah dialihkan mangsa ke kawasan berhampiran sungai sebelum kejadian turut ditemukan.
Beliau berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis, darah tinggi dan jangkitan paru-paru serta baru keluar dari hospital kira-kira sebulan lalu.
“Bagaimanapun, keluarga mengesahkan mangsa tidak mempunyai sejarah kemurungan atau masalah psikiatri,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Mangsa pernah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor atas tiket Barisan Nasional (BN) selama dua penggal, iaitu dari 1995 hingga 1999 dan 2004 hingga 2008.-MalaysiaGazette
















