KUALA LUMPUR – Pas sah akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, esok malam, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pengesahan itu dibuat beliau ketika ditemui media selepas melancarkan Buku Perang Iran-Israel karyanya sempena Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
“Esok, Insya-Allah. Kita mesyuarat malam (di Kuala Lumpur),” katanya ringkas.
Baru-baru ini, Abdul Hadi memberitahu Pas akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Bersatu susulan kebimbangan serius yang disuarakan Majlis Syura Ulamak Pas terhadap krisis dan konflik dalaman parti itu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, ditanya berkenaan gesaan supaya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dihidupkan semula, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan.
Mengulas dakwaan Barisan Nasional (BN) dilaporkan telah mempelawa Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk keluar daripada PN dan menyertai BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Abdul berkata, senario politik di negara ini bersifat dinamik.
“Dia boleh berubah, dia tak cakap boleh berubah. Kita akan kaji,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan pelawaan tersebut dibangkitkan semasa pertemuan antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden MIPP, P. Punithan pada awal minggu lalu.
Antara tawaran BN yang dibincangkan termasuklah tawaran agihan kerusi dan beberapa kelebihan lain bagi menarik penyertaan parti berasaskan kaum India itu ke dalam BN. – MalaysiaGazette
















