JOHOR BAHRU – Sambutan luar biasa yang membanjiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor semalam menjadi petunjuk rakyat semakin menolak politik yang mencetuskan ketidakstabilan.
Rakyat sebaliknya memilih kesinambungan pentadbiran yang mampu menjamin pertumbuhan ekonomi dan masa depan negara.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Sharwin Subramani berkata, kehadiran yang jauh melebihi jangkaan pada program berkenaan turut membuktikan rakyat masih meletakkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta hala tuju Kerajaan Madani.
Menurutnya, rakyat kini lebih matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik politik yang tidak menawarkan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi negara.
“Rakyat sudah penat dengan politik gaduh. Mereka mahu kerajaan yang bekerja, ekonomi yang berkembang dan peluang yang lebih baik untuk keluarga mereka.
“Sambutan yang kita lihat di Johor baru-baru ini adalah mesej yang sangat jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan dan kesinambungan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sharwin berkata, dalam keadaan ekonomi global yang terus mencabar, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan stabil bagi memastikan agenda pembangunan, pelaburan dan pemulihan ekonomi dapat diteruskan dengan berkesan.
Katanya, sejak mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan ekonomi.
Ini termasuklah menarik pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pembangunan negara bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat. Ia memerlukan kestabilan politik, dasar yang konsisten dan komitmen berterusan daripada semua pihak.
“Rakyat memahami hakikat ini dan sebab itu mereka mahu sebuah kerajaan yang boleh memberi tumpuan kepada kerja serta penyelesaian, bukannya terus terjebak dalam polemik politik yang tidak berkesudahan,” tegasnya.
Beliau berkata, AMK Johor bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang pilihan raya yang bakal berlangsung dengan semangat dan keyakinan tinggi demi mempertahankan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya, perjuangan AMK bukan semata-mata untuk meraih kemenangan politik, sebaliknya memastikan negara terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat.
“Kami akan terus turun padang, mendengar suara rakyat dan memperjuangkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
“Pada akhirnya, rakyat sendiri akan menjadi penentu berdasarkan rekod pencapaian, kestabilan dan kemampuan sesebuah kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih maju dan makmur,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, AMK Johor akan terus memperkukuh gerak kerja di semua peringkat bagi memastikan momentum sokongan yang ditunjukkan rakyat dapat diterjemahkan kepada kekuatan jentera menjelang pilihan raya akan datang. -MalaysiaGazette
















