JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan, kenyataan beliau iaitu tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya menang pilihan raya negeri (PRN) bukan kerana sombong atau perkauman.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu menjelaskan, kenyataan tersebut berlandaskan prinsip, mandat dan tanggungjawab terhadap Bangsa Johor.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” tulisnya dalam hantaran terbaharu yang dimuat naik dalam Facebook milikinya hari ini.
Semalam, Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.
Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin BN.
“Ini hanya boleh jadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor adalah dua entiti yang berbeza.
Jelasnya lagi, di peringkat Pusat, BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, apabila tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti membentuk kerajaan Pusat.
Menurutnya, keadaan tersebut tidak sama dengan situasi di Johor.
“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Alhamdulillah, Kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil. Kita telah membuktikan prestasi dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” ujarnya.
Tambahnya, Johor mempunyai cara berpolitik mereka sendiri.
“Ini UMNO Johor. Ini BN Johor. Ini Bangsa Johor,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















