Polis telah menerima laporan ketiga kes kanak-kanak menjadi mangsa cabul membabitkan jurulatih wushu.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang guru lelaki yang ditahan berhubung kes cabul seorang murid sekolah rendah di Seri Alam di sini akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek akan didakwa dengan lima pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama-sama Seksyen 16 akta sama kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan dengan hukuman sebatan manakala bagi peruntukan bawah Seksyen 16 akta tersebut, orang yang mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu, orang itu hendaklah sebagai tambahan kepada hukuman yang dia boleh dikenakan bagi kesalahan itu, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih lima tahun dan juga dua sebatan.

“Suspek juga berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memiliki bahan lucah. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pertuduhan tersebut dilakukan selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, Putrajaya pada 4 Jun lalu.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dalam satu kenyataan berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek ditahan kira-kira pukul 10.30 malam, 21 Mei lalu susulan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa berusia 37 tahun.

Pengadu mendakwa kejadian kejadian cabul itu dipercayai berlaku di kawasan Seri Alam di sini tahun lalu.

Terdahulu tular dalam Facebook atas nama Mohd Fadli Salleh mendakwa seorang murid perempuan dirogol seorang guru lelaki dan kejadian tersebut berlaku pada September tahun lalu.

Mohd Fadli mendakwa, perkara tersebut sudah tiga kali dilaporkan kepada pihak polis dan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang selain membuat aduan kepada pihak Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Bagaimanapun beliau mendakwa tiada tindakan diambil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast