PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan lesen dan permit tempatan oleh warga asing termasuk penggunaan visa pelawat atau pelajar untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati lesen dan permit yang dikeluarkan kepada rakyat tempatan disalahgunakan atau dipindah milik kepada pihak asing bagi menguasai aktiviti perniagaan di negara ini.
“Jadi bahayanya, jangan digunakan lesen dan permit tempatan. Kalau kita dapati permit tempatan disalah guna, kita akan laporkan dan ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Menurut Anwar, terdapat kes melibatkan syarikat yang pada asalnya didaftarkan oleh rakyat tempatan tetapi kemudiannya dijual kepada syarikat asing sekali gus menyebabkan penguasaan sektor tertentu beralih kepada pihak luar dan menjejaskan peluang usahawan tempatan.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu melihat keseluruhan rantaian perniagaan dikuasai oleh pihak asing sehingga melibatkan pelbagai sektor seperti hotel, restoran, agensi pelancongan dan pemilikan kenderaan.
“Jadi sekarang kita terpaksa beri jelas, tidak boleh,” tegasnya.
Anwar turut mengingatkan semua pihak termasuk pemandu pelancong, peniaga dan pengusaha sektor berkaitan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan permit atau lesen.
Dalam pada itu, beliau mahu setiap warga asing yang memasuki Malaysia perlu mematuhi syarat visa yang diberikan dan tidak boleh menggunakan visa pelawat atau pelajar untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
“Visa pelawat tetap visa pelawat. Ia tidak boleh digunakan untuk merampas peluang dan kesempatan orang tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menerima banyak aduan daripada peniaga kecil yang berdepan tekanan akibat persaingan tidak seimbang, dan perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjejaskan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, Anwar turut membangkitkan isu lambakan barangan murah yang dijual menerusi platform e-dagang dari luar negara, yang menurutnya memberi tekanan kepada peniaga tempatan.
Katanya, isu tersebut bukan hanya melibatkan negara tertentu, sebaliknya membabitkan mana-mana negara yang menggunakan platform e-dagang untuk memasarkan produk secara agresif sehingga menjejaskan daya saing perusahaan tempatan.
“Digunakan e-commerce dan semua yang kecil-kecil ini akan mati, terhapus dan tertekan,” katanya yang juga Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette
















