JOHOR BAHRU – Kenyataan Menteri Besar Johor bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP jika menang pilihan raya negeri (PRN) agak mengelirukan kerana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjalin hubungan di peringkat Persekutuan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tebrau, Jalex Lee En Xiang mempersoalkan pendirian Datuk Onn Hafiz Ghazi itu sedangkan menerusi kerjasama antara BN dan PH dapat mengekalkan kestabilan politik.
“Agak mengelirukan apabila melihat kenyataan seperti ini. Hakikatnya, kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan hari ini terdiri daripada PH dan BN termasuk DAP sebagai salah satu komponen dalam PH.
“Apa yang lebih penting, kerajaan sedia ada berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.
Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
Jalex Lee juga melontarkan persoalan tentang tindakan Onn Hafiz membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan tiada keperluan termasuk BN Johor tidak tergugat kerana mempunyai kelebihan majoriti dua pertiga.
“Kerajaan Negeri Johor yang dibubarkan pada 1 Jun lalu itu pula tidak melibatkan PH malah BN mempunyai majoriti lebih dua pertiga dengan 40 daripada 56 kerusi.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang konsistensi tindakan dan pendirian yang diambil,” ujarnya yang juga Exco AMK Pusat.
Katanya, jika tujuan sebenar pembubaran itu bukan untuk menggugat kestabilan kerajaan yang sedang berusaha membangunkan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat maka penjelasan yang jelas wajar diberikan.
Dakwanya, setakat yang dapat dilihat tindakan itu lebih didorong percaturan kuasa dan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















