Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jangan berlagak dan ‘overclaim’ dengan mengatakan kerajaan perpaduan tidak akan wujud tanpa parti itu.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kerajaan pada hari ini wujud bukan hanya kerana satu kumpulan sahaja.

“Kita semua tahu kerajaan perpaduan ini terbentuk hasil kerjasama banyak pihak, bukan sebab satu kumpulan saja. Tak usah berlagak macam kita lah yang terpaling. Tabiat lama ini nampaknya susah nak hilang.

“Parti yang ada kerusi paling banyak tak ada pun nak berlagak macam “kamilah penyelamat negara, kamilah tonggak utama kepada kestabilan politik negara”,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Zahid yang juga Presiden UMNO bahawa kerajaan perpaduan takkan dapat dibentuk tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen daripada gabungan itu.

Ujar Zahid, tanpa 30 kerusi BN itu, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mendapat majoriti di Parlimen untuk menerajui kerajaan semasa.

Zahid dilapor berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera BN Johor, semalam.

Mengulas lanjut Kamil berkata kestabilan kerjasama antara kesemua parti yang terbentuk dalam kerajaan pada hari ini juga daripada sikap saling hormat-menghormati bukannya kerana kesombongan.

“Kestabilan ini lahir daripada sikap saling menghormati dan persefahaman yang jitu dengan meletakkan keutamaan rakyat dan negara di hadapan, bukan dengan nada dan sikap yang angkuh dan sombong.

“Politik zaman ini dah berubah. Tapi nampaknya ada orang yang masih tak nak berubah,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast