SHAH ALAM – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai satu ‘sindiran terbuka’ terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.
Malah kata Saifuddin, kenyataan Onn Hafiz juga mencerminkan kegagalan beliau menawarkan agenda pembangunan yang benar-benar meyakinkan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, ketika Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO Pusat terus mempertahankan formula Kerajaan Perpaduan sebagai jalan terbaik menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara, Onn Hafiz pula dilihat memilih untuk memainkan sentimen sempit yang bercanggah dengan semangat tersebut.
“Apabila Presiden UMNO mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tetapi Menteri Besar Johor menghantar mesej yang berbeza kepada rakyat, ia menimbulkan persoalan sama ada Onn Hafiz sedang bercakap bagi pihak UMNO atau hanya bagi pihak dirinya sendiri.
“Rakyat melihat ini sebagai satu sindiran terbuka terhadap Presiden parti sendiri.
“Jika beliau tidak bersetuju dengan hala tuju UMNO Pusat, nyatakan secara terus. Jangan bermain politik dua wajah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Saifuddin berkata, kenyataan Onn Hafiz juga memberi gambaran jelas UMNO Johor kini bergerak dalam laluan tersendiri yang semakin jauh daripada pendirian kepimpinan pusat.
Katanya, lebih membimbangkan apabila pendekatan yang digunakan Menteri Besar Johor itu dilihat bersandarkan sentimen perkauman dan politik identiti yang sepatutnya sudah ditinggalkan dalam Malaysia moden.
“Ini bukan kepimpinan. Ini politik yang lahir daripada ketakutan.
“Apabila pemimpin gagal menjual pencapaian dan visi masa depan, mereka akan kembali kepada modal lama iaitu memainkan sentimen kaum bagi menakutkan rakyat,” ujarnya.
Katanya, rakyat Johor hari ini lebih berminat mendengar penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pengangkutan awam dan pembangunan seimbang berbanding retorik politik yang memecah-belahkan masyarakat.
Menurutnya, selepas bertahun-tahun mentadbir negeri, Onn Hafiz sepatutnya menjelaskan mengapa pembangunan masih terlalu tertumpu di Johor Bahru sedangkan banyak daerah lain terus ketinggalan.
“Johor bukan hanya Johor Bahru.
“Apa yang berlaku kepada Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Tangkak dan Batu Pahat? Mengapa jurang pembangunan antara daerah masih begitu ketara?
“Daripada menjawab persoalan ini, Onn Hafiz memilih untuk bercakap soal kaum. Ini menunjukkan beliau kehabisan idea untuk mempertahankan rekod pentadbirannya sendiri,” katanya.
Saifuddin turut mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri mahu menuntut hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menarik pelaburan dan membangunkan negeri, jika pada masa sama terus meniup sentimen yang bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
“Tidak masuk akal untuk meminta kerjasama daripada kerajaan yang turut dianggotai DAP dan parti-parti pelbagai kaum, tetapi pada masa sama cuba mewujudkan persepsi bahawa parti-parti tersebut adalah ancaman kepada masyarakat tertentu.
“Ini bukan strategi politik yang matang. Ini adalah percubaan terdesak untuk meraih sokongan melalui ketakutan dan prasangka,” katanya.
Beliau berkata, Johor memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat dan membawa agenda pembangunan untuk semua, bukannya pemimpin yang melihat setiap isu melalui lensa Melayu, Cina dan India.
“Johor tidak akan maju jika politiknya terus terperangkap dalam pemikiran lama.
“Anak muda tidak bertanya apa bangsa pelabur yang membawa pekerjaan ke negeri ini. Peniaga kecil tidak bertanya apa kaum pelanggan yang membeli produk mereka. Rakyat mahu ekonomi yang berkembang dan peluang yang adil untuk semua,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Saifuddin menyeru rakyat Johor supaya menolak politik perkauman dan memilih calon-calon Pakatan Harapan yang membawa agenda pembangunan lebih inklusif serta pengagihan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negeri.
“PRN Johor kali ini bukan sekadar soal memilih kerajaan negeri.
“Ia adalah pilihan sama ada Johor mahu terus dipimpin oleh politik lama yang memecah-belahkan rakyat atau bergerak ke hadapan dengan politik yang menyatukan, membangunkan dan memberi manfaat kepada semua.
“Johor berhak mendapat lebih baik daripada politik ketakutan yang sedang cuba dijual oleh Onn Hafiz hari ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















