Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohamad Zulfadli Amiruddin bersama kepimpinan bahagian semasa Mesyuarat Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu 2026 di ibu negara, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu mengusulkan agar kepimpinan UMNO Bahagian Batu dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketuanya, Mohamad Zulfadli Amiruddin berkata, anak tempatan dengan pengalaman organisasi serta hubungan rapat bersama masyarakat merupakan formula terbaik untuk mengembalikan pengaruh BN di kawasan tersebut.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Batu membuktikan keupayaan mereka dalam memperkukuhkan jentera parti selain aktif membantu masyarakat melalui jaringan kerjasama bersama pelbagai agensi kerajaan dan badan berkaitan.

“Parlimen Batu memerlukan seorang pemimpin yang memahami isu setempat, mempunyai hubungan erat dengan rakyat dan mampu membawa suara masyarakat ke peringkat pembuat dasar,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sabtu lalu, Zulfadli membentangkan cadangan usul agar kepimpinan UMNO Bahagian Batu sebagai calon BN di kerusi P.115 Parlimen Batu dalam PRU16 semasa Mesyuarat Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu 2026.

Beliau juga Parlimen Batu memerlukan wakil rakyat yang berani menyuarakan kepentingan rakyat terutama dalam berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.

“Kita memerlukan wakil rakyat yang berani bersuara, tegas mempertahankan kepentingan rakyat serta mampu membawa aspirasi masyarakat ke peringkat tertinggi.

“Jika kita membuat sedikit analisis kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Batu hari ini, pasti kita semua nampak bahawa pengalaman menguruskan ahli UMNO dalam organisasi amat baik sejak kebelakangan ini.

“Malah memiliki kredibiliti untuk mengangkat suara rakyat Batu kepada pelbagai pihak pemegang taruh berkepentingan seperti DBKL, JKM, MAIWP, PDRM, MARA dan KKM,” katanya.

Beliau turut menegaskan, calon yang bakal diketengahkan perlu terdiri dalam kalangan individu yang lahir dan membesar di Parlimen Batu serta memahami keperluan masyarakat tempatan secara mendalam.

“Kami memerlukan individu yang lahir dan membesar di Parlimen Batu, bukan sosok figura yang dikatakan hebat pada nama tetapi tidak lahir di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast