Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan gabungan itu terus diberi mandat mentadbir negeri berkenaan.

Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan rekod pencapaian PH yang memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Menurutnya, DAP akan memainkan peranan penting membantu rakan-rakan dalam PH untuk mempertahankan penguasaan gabungan itu di Negeri Sembilan.

“Kita menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi di negeri ini. Rekod tersebut pernah dicapai pada tahun 2018 dan kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan terus memberikan mandat kepada PH untuk mentadbir negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan.

Anthony yang juga Setiausaha DAP dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Chennah kali ini.

Keputusan untuk beliau terus bertanding mendapat persetujuan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP serta kepimpinan negeri bagi membolehkannya mengetuai kempen pilihan raya parti itu.

“Dengan sokongan CEC dan jawatankuasa negeri, saya akan terus mengetuai kempen pilihan raya dan bertanding pada PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata, DAP juga akan mempertahankan kesemua 11 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya lalu, manakala senarai calon dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, parti itu akan bekerja keras untuk memastikan semua kerusi yang ditandingi dapat dipertahankan selain membantu PH mencapai kemenangan di kerusi lain.

Mengulas pembubaran DUN Negeri Sembilan, Anthony berkata, walaupun pilihan raya kali ini berlaku lebih awal daripada jangkaan, PH telah bersedia untuk menghadapinya.

Katanya, keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat perlu dihormati dan PH kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN.

Sebelum ini, krisis politik tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, membawa kepada pembubaran DUN dan membuka laluan kepada pilihan raya negeri diadakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast