KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan strategik dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bukan sekadar penyumbang bilangan kerusi semata-mata.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, tindakan memperlekeh peranan UMNO serta kepimpinannya dalam pembentukan kerajaan ketika itu menunjukkan kefahaman politik yang terlalu sempit.
“Kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu memperlihatkan satu kefahaman politik yang terlalu dangkal terhadap realiti pembentukan kerajaan gabungan dalam sistem demokrasi moden.
“Mereka yang hanya menghitung angka kerusi tanpa memahami sejarah pembentukan kerajaan gabungan antarabangsa sebenarnya sedang melihat politik melalui lensa yang terlalu sempit,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Isnin lalu, Ketua AMK, Mohd Kamil Munim berkata, Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu yang angkuh dan tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik ketika ini.
Kamil berkata, dakwaan BN menjadi faktor utama pembentukan kerajaan sedia ada susulan sumbangan 30 kerusi Parlimen, tidak wajar dalam landskap politik semasa yang lebih kompleks dan berteraskan perkongsian kuasa.
Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, politik moden tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah kerusi semata-mata.
Jelasnya, ini kerana sejarah telah membuktikan banyak kerajaan di dunia dibentuk melalui kemampuan parti-parti tertentu membina kesepakatan antara blok politik yang berbeza.
“Sejarah Eropah moden menunjukkan banyak kerajaan dibentuk bukan oleh parti yang paling kuat secara bersendirian, tetapi oleh parti yang mampu menjadi jambatan penyatuan antara blok politik yang berbeza.
“Kerajaan pimpinan Angela Merkel misalnya beberapa kali bergantung kepada pembentukan ‘grand coalition’ yang menyatukan parti-parti utama demi kestabilan negara.
“Hakikat ini membuktikan dalam politik kenegaraan, kebijaksanaan membina konsensus sering kali lebih bernilai daripada sekadar memiliki bilangan kerusi yang besar,” katanya.
Menurut Fariz, situasi pasca PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung meletakkan UMNO dan BN sebagai paksi penting dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara.
Katanya, tanpa keputusan politik yang dibuat oleh kepimpinan UMNO ketika itu, Malaysia berisiko berdepan kebuntuan politik berpanjangan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran serta keyakinan pelabur dan pasaran.
“Dalam keadaan tersebut, UMNO dan BN bukan sekadar penyumbang angka kerusi, tetapi merupakan paksi strategik yang menentukan arah pembentukan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan sejarah politik antarabangsa memperlihatkan banyak parti sederhana memainkan peranan besar dalam menentukan pembentukan kerajaan walaupun memiliki jumlah kerusi yang lebih kecil berbanding parti utama
“Sebagai contoh, parti Free Democratic Party (FDP) di Jerman beberapa kali menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan meskipun tidak mempunyai kerusi yang dominan.
“Politik bukan matematik semata-mata. Politik adalah seni membina kesepakatan, mengurus perbezaan dan memastikan kestabilan negara dapat dipertahankan,” katanya.
Dalam pada itu, Fariz berkata UMNO telah mengambil keputusan yang sukar selepas PRU15 dengan mempertaruhkan modal politik demi memastikan negara tidak terus terjerumus ke dalam ketidaktentuan politik.
“Risiko tersebut ditanggung UMNO ketika banyak pihak memilih untuk mengambil pendirian yang lebih selamat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Kamil meneliti sejarah pembentukan kerajaan gabungan di peringkat antarabangsa sebelum mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai retorik partisan.
“Dalam politik kenegaraan, peranan sebenar tidak diukur pada kuantiti kerusi semata-mata, tetapi pada keberanian membuat keputusan yang menentukan masa depan negara ketika saat paling genting.
“Sejarah akan sentiasa mengingati siapa yang menang pilihan raya, tetapi sejarah juga akan mencatat siapa yang menyelamatkan negara daripada kebuntuan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















