JENIANG – Majlis Pengakap Negeri Kedah melakar sejarah baharu dengan menyasarkan peluasan program Pengakap Berasaskan Komuniti yang diperkukuhkan menerusi pelancaran program menjana pendapatan melalui projek penternakan lembu hibrid pertama seumpamanya dalam pergerakan berkenaan di Malaysia.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Ahmad Sabri Saad ketika berucap berkata, projek ternakan tersebut perlu diuruskan dengan tadbir urus paling profesional, berintegriti dan berteknologi tinggi supaya dapat berfungsi sebagai institusi ekonomi contoh.
“Buktikan bahawa Pengakap tidak hanya tahu berkhemah tetapi kita juga mampu menguasai ekonomi dan rantaian bekalan makanan moden.
“Kita mahu melahirkan ahli Pengakap yang bukan sahaja mahir mengikat tali tetapi juga bijak mengikat peluang ekonomi; bukan sahaja cekap membaca kompas, tetapi juga jelas membaca hala tuju masa depan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pelancaran Pengakap Berasaskan Komuniti dan Program Menjana Pendapatan Melalui Ternakan Lembu Hibrid Pengakap Negeri Kedah di Pusat Khidmat Komuniti Jeniang di sini baru-baru ini.
Ahmad Sabri mewakili Ketua Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Kedah merangkap Ahli Majlis Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Johari bin Abdul.
Mengulas lanjut mengenai Pengakap Berasaskan Komuniti (Community-Based Scouting), Ahmad Sabri menjelaskan, pergerakan pengakap di Rantau Asia-Pasifik memberikan fokus yang jelas kepada pembangunan belia di luar persekitaran sekolah melalui pendidikan tidak formal dan kesukarelawanan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menyantuni anak-anak muda di luar sistem persekolahan termasuk belia di kawasan kampung dan taman, bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial.
Bagi memastikan pelancaran tidak sekadar menjadi gimik di atas kertas, Ahmad Sabri menggariskan tiga seruan bertindak utama untuk digerakkan secara komited oleh seluruh warga Pengakap Negeri Kedah di lapangan.
Seruan pertama melibatkan usaha turun ke lapangan dan menggandakan keahlian komuniti dengan menggerakkan pergerakan ini di setiap daerah bagi mendekati belia luar sekolah, katanya.
Kedua, beliau mahu projek ternakan lembu hibrid berkenaan dijadikan sebagai model kejayaan dengan menguruskannya secara profesional demi menjana dana mampan organisasi serta membantu ekonomi setempat. – MalaysiaGazette
















